Kerajaan setuju wujudkan makmal kajian perkasa ekosistem halal
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) bagi penyelarasan agenda halal negara pada Jumaat bersetuju mewujudkan makmal kajian untuk melaksanakan pencetus perubahan (game changer) yang telah dipersetujui dalam Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau itu merupakan langkah susulan kepada dapatan bengkel berkenaan yang diadakan tahun lepas.
Beliau berkata, menerusi bengkel itu, beberapa pencetus perubahan utama telah dikenal pasti untuk memperkasakan industri halal negara.
"Fokus utama mesyuarat kali ini adalah untuk merangka pembangunan industri halal secara holistik bagi jangka masa panjang dan mengkoordinasikan ekosistem halal secara lebih efektif,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata, untuk memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global, usaha secara bersama perlu digembleng kerana halal ialah satu agenda nasional dan menjadi tanggungjawab rakyat untuk melaksanakannya demi agama dan kesejahteraan ummah.
"Semoga usaha ini membuahkan hasil dan terus memperkasakan industri halal negara. Insya-ALLAH,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!