[VIDEO] Andalusia lahirkan 'duta dakwah' dalam kalangan anak muda
MADINAH - Seramai 65 duta dakwah dalam kalangan anak muda dilahirkan oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Fa'izin melalui Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan yang bermula 29 Disember lalu dan melabuhkan tirainya pada Khamis.
Sepanjang dua minggu di Makkah dan Madinah kesemua peserta yang terdiri daripada 29 perempuan dan 36 lelaki masing-masing berusia antara 20 hingga 35 tahun itu bukan sahaja fokus kepada ibadah umrah semata-mata namun turut disajikan dengan makanan rohani menjadikan mereka insan yang berguna kepada agama, bangsa serta negara.
Mutawif dari Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ahmad Junaidi Omar berkata, pelbagai pengisian telah diaturkan untuk anak-anak muda sekali gus berbeza dengan jemaah umrah yang lain.
"Mereka difokuskan kepada pemahaman dan dakwah Islamiah di mana program kali ini lebih cenderung ke arah menjadikan anak-anak muda ini sebagai duta dakwah, dan contoh terbaik untuk diikuti oleh anak-anak muda di Kelantan apabila pulang ke tanah air kelak.
"Besar harapan kami agar peserta ini meneruskan kerja-kerja dakwah walaupun bukan dalam bidang agama, bukan seorang ustaz atau ustazah tapi sampaikan oleh kamu walau satu ayat, kata Rasulullah S.A.W. Dengan membantu dakwah orang kepada Islam dan bila Islam masuk dalam diri, kita akan aman, sejahtera, bahagia, itu yang Rasulullah S.A.W bawa," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, kesemua 65 peserta itu adalah pilihan ALLAH dimana sepanjang 12 hari di sini mereka menjalani setiap program yang diatur tanpa sebarang keluhan serta penat walaupun jadual terlalu padat.
Ujarnya, diharap segala ilmu serta pengalaman yang dipelajari di sini dapat memberi mereka semangat untuk terus berbakti kepada Islam, serta mereka tahu hala tuju yang akan dibawa nanti.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Imanul Fa'izin, Leftenan Kol Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, 65 anak muda yang terpilih ini merupakan sebahagian daripada 326 peserta dari seluruh negeri Kelantan yang memohon menyertai program ini dan lulus proses tapisan serta temuduga sejak ianya dibuka 25 Julai lalu.
"Daripada 326 permohonan diterima, 193 pemohon adalah lelaki dan 133 pemohon wanita yang berumur di antara 20 hingga 35 tahun.
"Syarat kelayakan bagi peserta untuk mendapat tajaan pakej umrah ialah solat berjemaah tiga waktu sehari iaitu subuh, maghrib dan isyak di Masjid Imanul Fa'izin selama 30 hari berturut-turut bermula 10 November lalu dengan kedatangan direkodkan melalui sistem perakam waktu digital menggunakan cap jari disediakan di masjid," katanya.
Beliau memberitahu program ini berhasrat untuk mendidik anak muda yang cintakan masjid.
Ujarnya, adalah menjadi hasrat utama penganjur bagi melatih generasi muda Kelantan ke arah menjadi umat Islam yang berkualiti dan berdisiplin dengan mengambil kira generasi inilah yang bakal mewarisi negeri ini pada masa yang akan datang.
Nik Saiful Adli memberitahu, dengan kejayaan program kali pertama ini, pihak penganjur berharap ia dapat diteruskan dengan jayanya pada siri kedua yang dijangka bermula selepas Ramadan nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!