BHEUU, JPM sahkan tiada dokumen tambahan, adendum dalam rekod rasmi
SHAH ALAM - Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) selaku urus setia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum dalam simpanan fail mahupun rekod rasmi pihaknya.
BHEUU, JPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang makluman atau arahan rasmi daripada Istana Negara berhubung perkara melibatkan permohonan pertimbangan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut kenyataan tersebut, Lembaga Pengampunan wujud di semua peringkat negeri dan dipengerusikan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, malah menteri besar serta ketua menteri juga antara anggotanya.
“Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula, Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Oleh kerana ketiga-tiganya dianggap entiti setaraf negeri, menteri yang bertanggungjawab menjadi anggota lembaga sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (11) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh yang demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan, terlibat dalam apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusan termasuk perkara berkaitan pengampunan mana-mana banduan.
“Semua dokumen berkaitan hanya boleh diakses ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung. Tiada mana-mana pihak lain tanpa mengira kedudukan atau jawatan mempunyai akses sejajar prinsip kerahsiaan di bawah Akta Rahsia Rasmi (Akta 88),” katanya pada Jumaat.
Kenyataan itu menegaskan, pihaknya juga tidak berurusan dengan menteri terbabit mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, tambahnya, sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sepatutnya.
Jelasnya, langkah tersebut penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.
“Kami sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai urus setia integriti, ketelusan dan profesionalisme selaras Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain yang sedia ada.
“Segala urusan berkaitan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras prosedur ditetapkan,” ujar kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!