Lelaki kurang siuman pecahkan cermin balai dengan tukul besi ditahan
MELAKA - Seorang penganggur dicekup polis selepas disyaki memecahkan cermin hadapan Balai Polis Tanjung Kling dengan membaling tukul besi ke arah bangunan itu dalam kejadian pada malam Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun dan dipercayai kurang siuman itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, kira-kira jam 12.40 pada awal pagi Jumaat.
Menurutnya, berdasarkan soal siasat awal, suspek bertindak sedemikian gara-gara marah selepas terdengar bisikan halus lalu membaling objek berkenaan ke arah balai yang ketika itu terdapat dua anggota sedang bertugas.
Beliau berkata, suspek menunggang motosikal Yamaha Lagenda ketika melakukan perbuatan terbabit sebelum bertindak melarikan diri ke kawasan Pantai Puteri selepas insiden berkenaan.
"Suspek mengaku menunggang motosikal milik adik perempuannya sebelum berhenti di hadapan luar pagar balai tersebut.
"Akibat bisikan halus menyebabkan dia telah mengambil sebatang tukul besi yang dibawa dari rumah dan membaling ke arah balai polis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing suspek didapati negatif dan suspek kini direman selama empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.
Jelasnya, siasatan awal yang dijalankan juga mendapati tiada sebarang unsur atau elemen subversif terhadap mana-mana pihak dalam insiden tersebut.
"Siasatan juga masih dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 427 KK dan Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
"Polis turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu yang dibimbangi menggusarkan orang awam," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!