Usah perlekeh Langkawi, cubaan gagalkan TMK 2025 - Exco
ALOR SETAR - Kerajaan negeri membidas sikap segelintir pihak yang memperlekehkan Langkawi sebagai destinasi utama pelancongan termasuk cubaan untuk menggagalkan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, setiap destinasi pelancongan memiliki tarikan tersendiri dan tidak wajar membandingkan keunikan masing-masing.
Menurutnya, dakwaan kemasukan pelancong ke Langkawi merosot hanya persepsi semata-mata, bukan berlandaskan fakta kerana pulau legenda tersebut sering dikunjungi pelancong sama ada domestik mahupun antarabangsa.
“Dari sumber mana mengatakan jumlah kemasukan ke Langkawi merudum. Statistik menunjukkan Langkawi terus mencatat kemasukan pelancong sejak pulih dari pandemik Covid-19.
“Berdasarkan data Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) jumlah ketibaan pelancong di Langkawi sebanyak 2,581,605 pada tahun 2022, meningkat kepada 2,810,322 (2023). Sehingga September 2024 seramai 222,541, menghampiri 3 juta yang disasarkan,” katanya.
Mohd Salleh berkata, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd turut memaklumkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi sejak 20 Disember seramai 99,417 orang.
“Pada hari pertama tahun ini, Langkawi menerima 4,000 pelancong menerusi 27 penerbangan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL),” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial laporan sebuah portal mendakwa Langkawi di bawah pentadbiran Pas terus merudum, sebaliknya Ipoh dalam dakapan DAP semakin menjadi tumpuan pelancong.
Segelintir netizen pula menyifatkan TMK 2025 sebagai hambar dan tiada pembaharuan dilakukan oleh kerajaan negeri di lokasi-lokasi tumpuan pelancong.
Mohd Salleh sebaliknya meminta orang ramai merujuk kepada kalendar TMK 2025 untuk sama-sama memeriahkan acara yang disediakan sepanjang tahun.
“Tidak salah mengangkat Ipoh kerana ia berhak, namun memperlekehkan Langkawi dengan menganggap ia terus merudum dan menggunakan terma ‘tutup kedai’ adalah tindakan tidak cermat dan tanpa berasaskan fakta.
“Untuk makluman, pada Mac tahun lepas Langkawi dan Pulau Pinang disenaraikan antara 10 pulau terbaik di Asia-Pasifik oleh DestinAsian’s 17th Annual Readers’ Choice Awards.
“Tahniah juga kepada Ipoh kerana dipilih oleh portal TimeOut sebagai salah satu daripada lapan bandar terbaik di Asia untuk dilawati tahun ini dengan kedudukan tangga kelima,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Langkawi menerima pengiktirafan pelbagai sejak dahulu, antaranya menduduki tempat keempat untuk Top 10 Pulau Terbaik di Asia oleh Conde Nast Traveler Reader’s Choice Awards 2024.
“Pada Julai lepas, LADA meraih anugerah di Tourism Industry Awards 2024 dalam kategori ‘Best Leader in the Tourism Development Organisation’.
“Layakkah LADA sebagai penggerak utama pembangunan dan pelancongan Langkawi menerima anugerah tersebut jika benar industri pelancongan di Langkawi merosot?” soalnya.
Mohd Salleh berkata, adalah tidak wajar membuat kenyataan melulu dengan bersandarkan kepada kegagalan segelintir pengusaha hotel bajet sebagai bukti kemerosotan industri pelancongan di Langkawi.
“Ada ribuan pengusaha penginapan lain di pulau itu, mereka gembira dengan perniagaan masing-masing.
“Jika beratus atau beribu pengusaha ‘tutup kedai’, ada logiknya kita perlu gusar. Kalau hanya seorang dua tidak tahu cari pekerja ‘gulung tikar’, kita berlapang dada. Sudah tentu bukan kerana isu pelancongan, tetapi orang berkenaan tidak pandai mengurus,” jelasnya.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri bersama LADA bekerjasama erat untuk menjadikan Langkawi kekal hebat dan terus menjadi tumpuan pelancong.
“Ia hakikat yang tidak dapat disangkal sesiapa yang ‘celik’. Pembangunan Langkawi, termasuk pelancongannya dikongsi oleh kerajaan negeri dan LADA, yang mana LADA lebih berperanan sebagai pemain utama,” katanya.
Mohd Salleh turut membidas kenyataan yang merendahkan warga Langkawi dengan melabel mereka sebagai malas bekerja.
“Penulis tersebut menulis ‘sejak Pas memerintah Kedah, tidak semena-mena ahli masyarakat serasa malas bekerja’, ia keterlaluan.
“Pandangan yang dimulakan dengan mata politik dengan isi berbaur politik tiada keikhlasan.
“Nasihat saya, kita boleh berpolitik, tetapi jangan tutup mata kepada fakta kerana yang rugi bukan hanya negeri tetapi negara. Tak salah puji DAP, tetapi janganlah sampai orang terfikir apakah Langkawi perlu diserahkan kepada DAP baru dilambung pujian?” katanya sinis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!