Kerajaan Pahang pastikan kebajikan atlet jadi keutamaan

Fadzli (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Azri Syahiran (empat dari kiri). FOTO SINAR HARIAN
Fadzli (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Azri Syahiran (empat dari kiri). FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

JERANTUT - Kerajaan negeri memastikan kebajikan atlet menjadi keutamaan selain kejayaan dan kecemerlangan mereka dalam sukan masing-masing.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, aspek itu sentiasa diberi penekanan apabila ia membabitkan sebarang musibah yang dihadapi atlet di negeri ini.

"Sememangnya kebajikan atlet di Pahang menjadi keutamaan, saya sering berkongsi pandangan bersama atlet di media sosial jadi bila ada kemalangan atau berita sedih, saya akan hadir.

"Kita tidak mahu aspek kecemerlangan semata-mata namun bila ada musibah, berdepan saat getir, kita juga perlu bersama mereka ketika itu," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyerahkan sumbangan kepada atlet ragbi Pahang, Azri Syahiran Zaiful Afindi,17, susulan tragedi menimpa adiknya, Azri Fahmi Bahiudin,14, yang lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Jerantut Feri pada 4 Januari lalu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Shahruddin Jali dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Zamri Hassan.

Fadzli (tiga dari kanan) memberikan nasihat dan semangat kepada Azri Syahiran (kiri) sambil diperhatikan Zaiful Afindi (dua dari kiri). FOTO SINAR HARIAN
Foto Sinar Harian
Fadzli (tiga dari kanan) memberikan nasihat dan semangat kepada Azri Syahiran (kiri) sambil diperhatikan Zaiful Afindi (dua dari kiri). FOTO SINAR HARIAN Foto Sinar Harian

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fadzli berkata, kerajaan negeri akan membantu berdasarkan keperluan Azri Syahiran yang juga telah lima tahun mewakili Pahang.

"Dalam pertemuan tadi, dia ada berkongsi untuk menjadi guru dan ingin menyambung pengajian di IPG (Institut Pendidikan Guru) yang mempunyai kemudahan sukan ragbi.

"Jadi kita akan membantu memilih IPG sesuai atas cadangan kerajaan negeri kerana rugi bakatnya dilepaskan begitu sahaja," ujarnya lagi.

Beliau turut mengharapkan remaja itu tabah dan dapat menjawab dengan tenang memandangkan Azri Syahiran juga sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Sukan Malaysia Gambang.

Sementara itu, Azri Syahiran mengakui lebih bersemangat selepas mendapat banyak nasihat serta dorongan untuk membuat yang terbaik dalam peperiksaan itu yang berbaki empat kertas.

"Saya rasa semangat sebab ramai datang sokong dan ingin membuat lebih baik dalam SPM," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Bagi bapa remaja itu, Zaiful Afindi Hashim, 43, berkata, dia sekeluarga amat berterima kasih kepada semua pihak agensi penyelamat, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai yang menghulurkan bantuan dalam misi pencarian anak keduanya, Azri Fahmi di Sungai Pahang.

"Saya juga menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dengan ujian yang menimpa keluarga kami," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!