Kerajaan perlu nilai semula ciri operasi Puspakom
SHAH ALAM - Kerajaan perlu menilai semula ciri-ciri pengoperasian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan dipantau terus oleh pihak berkuasa agar rasuah yang berlaku dalam organisasi tersebut dapat dibanteras habis-habisan.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, perkara tersebut penting untuk mengelakkan berlakunya kemalangan membabitkan kenderaan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan.
“Mereka boleh dipantau oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak polis serta saya juga berpendapat ia tidak boleh diletakkan secara berasingan dengan sistem kerajaan sedia ada.
“Rasuah yang berlaku dalam Puspakom sebenarnya amat mengejutkan, bukan sahaja memberi kesan kepada pemilik kenderaan malah juga kepada pengguna jalan raya lain.
“Kita hairan berlaku banyak kemalangan akibat daripada tayar celup atau brek tidak berfungsi sehingga mengakibatkan nahas jiwa dan akhirnya terjawab bahawa sebenarnya berlaku penyelewengan terhadap pemeriksaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, tidak ada tempat bagi mereka yang terlibat rasuah untuk bersembunyi di dalam organisasi Puspakom.
Kata Mahmood Razak, pihaknya akan terus mendedahkan sebarang perlakuan tidak beretika bagi memastikan kredibiliti perkhidmatan pemeriksaan kenderaan Puspakom terjamin dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan syarikat itu.
Dalam pada itu, Nor Halmey berkata, Puspakom bergerak sebagai organisasi yang memberi jaminan keselamatan kepada pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya.
“Tetapi bila berlaku sogokan, mereka menjadi satu entiti yang menggerunkan.
“Jadi saya harap rasuah dalam organisasi ini perlu segera dibanteras agar tiada lagi kemalangan jiwa melibatkan orang tersayang menjadi korban mereka yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!