Mahkamah AS henti perjanjian dengan dalang serangan 9/11
WASHINGTON - Mahkamah Rayuan di Washington pada Khamis menghentikan sementara perjanjian antara individu yang didakwa sebagai dalang serangan 11 September 2001 serta dua lagi defendan bersama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), atas permintaan pentadbiran Biden, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Mahkamah itu mengeluarkan perintah tangguh sementara - penggantungan prosiding secara peruntukan - yang menjadikan semua langkah berkaitan perjanjian itu jeda sehingga keputusan muktamad dicapai.
Dalam permohonannya kepada Mahkamah Rayuan, Jabatan Pertahanan berhujah bahawa penerimaan pengakuan bersalah Khalid Sheikh Mohammed dan dua defendan bersama itu akan menyebabkan kerugian yang tidak dapat diperbaiki kepada kerajaan dan orang awam, kerana ia akan menafikan peluang untuk perbicaraan terbuka dan kemungkinan menjatuhkan hukuman mati.
Pada Ogos lepas, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin cuba menarik balik perjanjian yang pada awalnya dirundingkan dan diluluskan oleh jabatannya, namun mahkamah tentera memutuskan tindakan beliau sebagai tidak sah.
Akibatnya, perjanjian antara defendan dan badan kehakiman itu kembali kepada landasan.
Serangan pengganas 11 September 2001 melibatkan empat pesawat penumpang yang dirampas dan disasarkan kepada Pusat Dagangan Dunia di New York City serta ibu pejabat pertahanan Pentagon di luar Washington. Hampir 3,000 orang terbunuh dalam kejadian itu.
Mohammed dipercayai dalang utama serangan berkenaan, menyelaras komunikasi dan pembiayaan untuk operasi itu.
Beliau ditahan di Pakistan pada 2003 dan dipindahkan ke penjara di Guantánamo pada 2006, dan beliau dijadualkan untuk dibicarakan di hadapan tribunal tentera atas penglibatannya.
Bagaimanapun, perbicaraan terhadap beliau dan beberapa defendan lain tertangguh selama beberapa tahun.
Mohammed dan dua defendan bersama kini sedang berusaha mencapai perjanjian pengakuan bersalah dengan sistem kehakiman, yang mana mereka akan mengaku bersalah.
Butiran lengkap perjanjian itu masih belum didedahkan. Menurut laporan media AS, perjanjian itu dijangka menyelamatkan mereka daripada hukuman mati.
Austin pada mulanya menyokong perjanjian itu tetapi menarik balik persetujuannya selepas menerima tentangan hebat. - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!