Memberi dan memohon maaf

A
A
A

SAYA tidak menyangka telah menulis lebih 550 artikel untuk kolum Maaf Cakap di akhbar Sinar Harian. Pada minggu pertama memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang akhbar ini pada ketika itu, saya diberi penghormatan untuk menulis.

Saya tidak mahu menulis untuk kolum Lidah Pengarang kerana berasakan sudut pandang saya sebagai anggota editorial terhadap sesebuah isu akan menjadikan akhbar Sinar Harian tidak berkecuali. Kerana itu, saya memilih untuk menulis hal-hal yang jarang sekali menyentuh isu semasa sebaliknya hal-hal human interest di kolum yang saya namakan ‘Maaf Cakap’.

Maaf cakap adalah frasa berlapik yang digunakan oleh orang Melayu apabila hendak memberi komen mengenai sesuatu perkara yang sensitif. Dengan menggunakan frasa maaf cakap sebagai pelapik kata, seseorang itu dapat menegur dengan lebih jujur.

Saya menggunakan konsep maaf cakap yang digabungkan dengan pengalaman saya sebagai insan yang kerap melakukan kesilapan. Saya catat dan paparkan muhasabah diri itu untuk dikongsi bersama para pembaca kerana kesilapan-kesilapan saya itu adalah juga kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain. Mudah-mudahan, kita sama-sama memperoleh manfaat.

Maaf itu berkait rapat dengan kesilapan dan kesalahan. Maaf itu dipohon. Maaf juga boleh diberi. Lazimnya orang yang bersalah itu memohon maaf, sementara orang yang tidak bersalah itulah yang memaafkan. Masalah akan berlarutan sekiranya orang yang bersalah itu tidak mahu memohon maaf. Begitu juga sekiranya yang dipohon maaf itu tidak mahu memaafkan. Apabila tiada saling bermaafan, maka kedua-duanya akan menanggung kesakitan, sama ada yang bersalah ataupun yang sebaliknya. Pilihlah sama ada mahu menanggung kesakitan tidak memaafkan atau melapangkan dada apabila saling bermaafan dan move on.

Kerana itulah, maaf itu sebenarnya adalah ubat apabila saling bermaaf-maafan. Walaupun pada lazimnya seseorang itu boleh berkata bahawa dia boleh memaafkan tetapi tidak boleh melupakan, manusia yang memaafkan itu biasanya akan dapat melupakan kerana manusia itu pelupa sifatnya. Sebaliknya, yang tidak memaafkan itulah yang tidak boleh melupakan.

Namun, jika diteliti akan firman ALLAH SWT, kita sewajarnya memberi maaf kepada mereka yang melakukan kesalahan.

“Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya ALLAH Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (Surah An-Nisa’: 149).

Artikel Berkaitan:

Soal sama ada setelah orang yang dimaafkan itu melakukan kesalahan kembali, itu adalah di antara dia dengan ALLAH SWT. Sebaliknya, kita yang memaafkan itu amat disukai ALLAH. Pilihlah, sama ada hendak mencari kesukaan ALLAH SWT ataupun kesukaan hati untuk tidak memaafkan.

Lagi pula sebagai insan, kita pasti punyai banyak dosa dengan ALLAH SWT. Justeru, bagaimanakah pula sekiranya istighfar dan taubat kita tidak diterima ALLAH kerana kita sentiasa melakukan kesalahan secara berulang?

Seandainya kita yang melakukan kesalahan demi kesalahan itu tidak malu memohon ampun, mengapa pula kita sombong untuk memaafkan kesalahan orang lain?

Tentulah sebagai manusia, rasa sakit hati kerana dianiayai itu bukan mudah dilupakan begitu sahaja. Ibarat orang yang dilanggar dan sedang mengerang kesakitan, mana mungkin dia memaafkan begitu sahaja walaupun yang melanggarnya itu benar-benar tidak sengaja.

Kerana itu, segerakan hilangnya benci itu dengan mendekati Yang Maha Menyayangi. Seka air mata dan iringi dengan senyuman. Lupakan kesakitan tetapi ingatkan iktibar yang datang bersamanya.

Apabila tiada saling bermaafan, maka kedua-duanya akan menanggung kesakitan, sama ada yang bersalah ataupun yang sebaliknya.”

* Norden Mohamad ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!