Tembakan di Johor, serangan di Negeri Sembilan disyaki jenayah terancang
JOHOR BAHRU - Polis tidak menolak kemungkinan kejadian melibatkan seorang maut ditembak di Johor dan serangan sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di sebuah restoran di Negeri Sembilan baru-baru ini mempunyai motif tertentu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, buat masa ini siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan berkaitan kedua-dua kejadian berkenaan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan turut mengambil kira penglibatan kumpulan jenayah atau organisasi jenayah terancang dalam kejadian itu.
"Kejadian berlaku itu dipercayai mempunyai motif tertentu dan bukan dilakukan secara rawak, selain usaha memburu suspek, siasatan turut melibatkan latar belakang mangsa untuk membantu polis mengenal pasti punca.
"Polis juga tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa menjadi sasaran kumpulan jenayah yang mahu membalas dendam atau tidak berpuas hati dengan aktiviti tertentu," katanya pada Jumaat.
Katanya, polis menjamin keadaan ini tidak dibiarkan lebih buruk sehingga mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai.
"Situasi adalah terkawal, dan kami akan berusaha keras untuk memastikan pelaku bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"Saya yakin dengan keupayaan semua pegawai dan anggota polis, terutama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), dalam menjejaki dan mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang terlibat dalam jenayah ini," katanya.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian pada Rabu itu, seorang lelaki berumur 40 tahun ditembak mati ketika menikmati makan tengah hari di sebuah restoran di Taman Setia Indah, Johor Bahru.
Dalam pada itu, pada Khamis, empat individu cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di sebuah restoran di Nilai, Negeri Sembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!