THT terus rentak kemenangan tewaskan UiTM HA-KPT, 3-1
TERENGGANU Hockey Team (THT) meneruskan kecemerlangan di persada Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila menundukkan UiTM HA-KPT 3-1 di Stadium Hoki Batu Buruk di sini petang tadi.
Beraksi di gelanggang sendiri, pasukan THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom terpaksa menunggu sehingga suku kedua perlawanan untuk memperolehi gol pertama menerusi Muhammad Arif Syafie Ishak yang bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-18.
Pada minit ke-25, pasukan tuan rumah yang diketuai bekas pemain kebangsaan Mohd Fitri Saari hampir menambah jaringan, namun berjaya dihalang penjaga gol Muaz Bashir Shabri yang mempamerkan aksi cemerlang.
Ketinggalan 0-1, pasukan pelawat cuba bangkit melakukan serangan dan beroleh peluang keemasan pada minit ke-29, sayangnya pukulan sudut penalti yang diambil Muhamad Hafiz Zainol berjaya dihadang penjaga gol Muhammad Hazrul Faiz Ahmad Sobri.
Pada minit ke-32, skuad The Turtles yang mendominasi permainan berjaya menggandakan jaringan menerusi gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook sebelum Mohd Fitri pula menghadiahkan gol ketiga untuk tuan rumah empat minit kemudian.
UiTM HA-KPT yang ketinggalan 0-3 bagaimanapun tidak putus harapan dan terus menggandakan usaha untuk memecah kebuntuan gol.
Usaha itu akhirnya berhasil apabila pasukan pelawat memperoleh gol sagu hati hasil pukulan sudut penalti Muhammad Idris Samad pada minit ke-51.
Dengan kemenangan itu, THT yang juga juara Piala Sumbangsih musim ini kekal di tempat teratas MHL dengan kutipan sembilan mata.
Sementara itu, Mohd Harfizi berkata beliau melakukan perubahan taktikal pada suku kedua perlawanan dan ia berjaya membawa kemenangan kepada pasukan.
"Saya akui pemain sukar menjaringkan gol pada suku pertama perlawanan kerana pihak lawan menggunakan corak bertahan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!