Kerosakan akibat kebakaran di California meningkat kepada AS$150 bilion - AccuWeather

Kebakaran hutan besar-besaran yang melanda seluruh kawasan kejiranan dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal di Los Angeles masih kekal tidak terkawal sepenuhnya. Foto AFP
Kebakaran hutan besar-besaran yang melanda seluruh kawasan kejiranan dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal di Los Angeles masih kekal tidak terkawal sepenuhnya. Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Anggaran awal kerosakan akibat kebakaran liar yang sedang berlaku di dalam dan sekitar Los Angeles telah meningkat kepada antara AS$135 bilion dan AS$150 bilion, kata Pengurus Perhubungan Awam AccuWeather Bill Wadell, pada Jumaat, menurut Sputnik/RIA Novosti.

"AccuWeather telah meningkatkan anggaran awal untuk jumlah kerosakan dan kerugian ekonomi akibat kebakaran liar di California Selatan kepada angka yang mencecah AS$135 bilion hingga AS$150 bilion," kata Wadell di platform X.

Sebelum ini, syarikat media itu menganggarkan kerosakan dan kerugian ekonomi akibat kebakaran liar di California berada dalam lingkungan AS$52 bilion hingga AS$57 bilion.

Menurut Wadell, pakar kaji cuaca meramalkan angin kencang dan risiko kebakaran yang lebih tinggi pada minggu hadapan.

Sherif Daerah Los Angeles, Robert Luna dalam sidang media menyifatkan kerosakan akibat kebakaran liar itu boleh dibandingkan dengan kesan bom nuklear yang dijatuhkan di kawasan berkenaan.

Beberapa kebakaran hutan telah tercetus di California sejak Selasa, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah.

Gabenor California Gavin Newsom dalam kenyataan awal pagi Jumaat memaklumkan bahawa Pengawal Nasional California telah tiba di Los Angeles untuk mencegah kejadian menjarah di zon pemindahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!