Polis mohon bantuan kesan Noor Amni Nazaranee

Noor Amni Nazaranee
Noor Amni Nazaranee
A
A
A

SEPANG - Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berumur 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Bukit Puchong, Putra Perdana di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan berkata, Noor Amni Nazaranee dilapor keluar untuk ke rumah rakannya di Lavender Terrace Puchong Prima, Taman Puchong Prima pada 5 petang dengan menggunakan perkhidmatan e-panggilan.

"Hasil semakan mendapati Noor Amni telah keluar dengan rakan untuk pergi berjoging di Putrajaya.

"Kali terakhir, Noor Amni memaklumkan berada di Jalan Renang 13/26 di Shah Alam, Selangor pada 8.50 malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, satu laporan polis berkaitan kes kehilangan remaja perempuan itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada 1.40 pagi Jumaat.

Noor Amni dilaporkan keluar dari rumah dengan memakai baju warna gelap dan memakai tudung warna coklat serta membawa telefon bimbit dan beliau tidak mempunyai apa-apa masalah dengan ahli keluarga.

"Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH) dan usaha menjejaki OH sedang giat dijalankan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai untuk tampil jika mempunyai maklumat berkenaan OH dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Rasimah Ab Rasid di talian 012-3252521 atau menghubungi IPD Sepang di talian 03-87774222. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!