Pegawai Azalina lapor polis terhadap KJ

Suraya menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Khairy.
Suraya menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Khairy.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin di Balai Polis Sentul pada Jumaat.

Datuk Suraya Yaacob tampil berbuat demikian selepas melihat satu artikel di sebuah portal yang melaporkan Khairy mendakwa Azalina berkomplot menyembunyikan Titah Adendum.

Laporan itu dibuat supaya polis segera menyiasat bekas Menteri Kesihatan itu.

Berdasarkan laporan polis yang tular di media sosial, Suraya memberitahu bahawa kenyataan yang dibuat oleh Khairy itu tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai menteri Kabinet.

Menurutnya, perkara itu juga mengelirukan rakyat dan menimbulkan perasaan tidak senang serta menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara.

Penggunaan perkataan 'komplot' katanya, adalah keterlaluan kerana ia membawa maksud terlibat atau dikaitkan dengan perbuatan menyalahi undang-undang atau tidak beretika.

"Perkataan berkenaan juga membayangkan bahawa Azalina secara sedar telah membantu, menyokong atau membenarkan perbuatan menyalahi undang-undang berlaku.

"Tambahan lagi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dalam satu kenyataan pada Jumaat turut mengesahkan bahawa Azalina bukannya Ahli Lembaga Pengampunan mahu pun terlibat dalam apa-apa urusan pentadbiran berkaitan pengampunan mana-mana banduan.

Artikel Berkaitan:

"Titah Adendum hanyalah khabar angin kerana pembuat dokumen tidak membuat sebarang kenyataan sehinggalah Istana Pahang mengeluarkan surat pengesahan pada 4 Januari 2025 lalu," katanya berdasarkan laporan polis yang dibuat.

Berikutan itu, Suraya memohon polis menjalankan siasatan terperinci terhadap Khairy kerana mempunyai niat jahat mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah jenayah dan mencemarkan reputasi menteri Kabinet.

Ujarnya, polis juga perlu menyiasat Khairy kerana menyebarkan maklumat palsu yang mengganggu ketenteraman awam dan mengikut Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan laman sosial.

Terdahulu, Khairy menerusi siaran audio siar 'Keluar Sekejap' pada Jumaat mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Khairy, yang dipecat UMNO dua tahun lalu, juga menuduh Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.

Hos bersama program itu, Shahril Hamdan berkata, Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa Peguam Negara tidak melaporkan perkara tersebut kepadanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!