UMNO akan terus mohon pengampunan penuh Najib
KUALA LUMPUR - UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertua Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
"UMNO merakamkan rasa kesyukuran dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
"Kami juga yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum tersebut," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pada Jumaat.
Tambah beliau, menteri-menteri yang mewakili UMNO juga bersedia untuk memberi keterangan dan kerjasama kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan.
"UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya untuk mempertahankan institusi raja-raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi kepada Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.
Pada Isnin, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Keputusan majoriti dicapai oleh Azhahari dan Mohd Firuz sementara Azizah menentang keputusan terbabit.
Ketika membaca keputusan, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman itu diputuskan.
Menurutnya, alasan utama mahkamah menolak permohonan kebenaran, ialah berdasarkan fakta bahawa, Najib selaku perayu hanya bergantung kepada keterangan dengar cakap.
Bagaimanapun, berdasarkan bukti baharu, dua hakim mendapati isu khabar angin atau dengar cakap itu, tidak lagi boleh dipertahankan.
Panel tiga hakim itu turut membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi menyokong semakan kehakimannya itu.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.
Sebelum ini media melaporkan, Najib meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.
Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!