Polis Marin tahan tiga lelaki, rampas 31 kayu balak
TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan tiga lelaki tempatan dan merampas dua bot mengandungi 31 batang kayu balak tanpa permit di Sungai Merotai di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek berusia antara 21 hingga 53 tahun itu ditahan ketika anggotanya menjalankan operasi Op Gelora di kawasan tersebut pada jam 7.30 malam.
"Sewaktu ditahan dua bot dikendalikan dua suspek ditahan ini, mengandungi muatan masing-masing 18 batang dan 13 batang kayu balak yang dibawa tanpa sebarang permit pengeluaran daripada Jabatan Perhutanan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohamad Pajeri berkata tahanan serta kesemua barang rampasan ditunda ke jeti markas operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Enakmen Perhutanan 1963 kerana memiliki dalam simpanan barangan hutan tanpa permit.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!