Israel pasang papan iklan sebar kebencian

Sebuah papan iklan yang disifatkan sebagai menyebarkan mesej kebencian terhadap Palestin dipasang di lebuh raya Israel. - Foto Agensi
Sebuah papan iklan yang disifatkan sebagai menyebarkan mesej kebencian terhadap Palestin dipasang di lebuh raya Israel. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Sebuah papan iklan dengan mesej kebencian terhadap rakyat Palestin dipasang di lebuh raya Israel sebagai tindak balas kerana mereka menolak pelan damai berat sebelah yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Dengan kapsyen 'Keamanan hanya dapat dicapai dengan menumpaskan musuh', papan iklan itu turut memaparkan gambar Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan pemimpin Hamas serta bekas Perdana Menteri, Ismail Haniyeh melutut sambil mata ditutup dengan latar belakang seolah-olah berada di zon perang.

Bekas anggota Knesset dari Parti Meretz, Issawi Freig menyelar papan iklan tersebut sebagai menjijikkan dan menggesa Datuk Bandar Tel Aviv untuk menarik balik iklan berkenaan.

"Ia mesti ditarik balik sekarang. Datuk Bandar, Ron Huldai sila ambil tindakan," tulisnya di Twitter seperti dilaporkan Press TV.

Setakat ini, masih belum jelas siapa yang menaja papan iklan itu atau adakah ia sebahagian daripada kempen menjelang pilihan raya yang dijangka diadakan pada 2 Mac depan.

Huldai dalam satu kenyataan berkata, papan iklan itu akan diturunkan dan mengakui ia menghasut keganasan serta seperti mengingatkan semula tindakan militan Daesh dan Nazi.

"Walaupun pada musim pilihan raya, ada garis sempadan yang perlu dipatuhi," tegasnya.

Semalam, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menegaskan rancangan Trump bakal menyaksikan keadaan Palestin berpecah-belah dan tiada kedaulatan pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Pelan AS tidak lebih daripada memo pemahaman antara Netanyahu dan Trump," katanya yang turut menggesa untuk menolak rancangan tersebut dan Palestin terbuka bagi sebarang rundingan serius.

Pada 28 Januari lalu, Trump mengumumkan pelan damai Asia Barat atau Deal of the Century di samping sekutunya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih.

Pelan itu ditentang semua kumpulan Palestin termasuk banyak negara dunia dan Kesatuan Eropah (EU). - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!