Covid-19: Cuaca panas selamatkan Malaysia?

No Image Caption
A
A
A

CUACA panas dijangka dapat menyelamatkan Malaysia daripada penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang kini sedang ‘mengganas’ di China dengan angka kematian melebihi 1,800 dan 72,436 orang telah dijangkiti setakat pagi semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kajian saintis kesihatan Kementerian Kesihatan Singapura, Profesor Dr Tan Chorh Chuan menjelaskan bahawa Covid-19 tidak dapat bertahan lama sekiranya suhu melebihi 30 darjah Celsius.

Menurutnya, pengalaman berhadapan dengan wabak influenza dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) mendapati ia serius pada musim sejuk.

“Kita tahu virus boleh dibunuh pada suhu tinggi. Influenza, Covid-19 dan epidemik sebelum ini teruk semasa musim sejuk. Apabila suhu naik, penularan (wabak) itu kurang.

“Kalau lihat di Malaysia, di bawah cahaya matahari di kawasan lapang, suhu memang lebih 30 darjah Celsius. Jadi ini peluang untuk kita kurangkan penularan virus sekiranya wabak itu berlaku,” katanya.

Kenyataan beliau mungkin memberikan sedikit kelegaan buat rakyat negara ini sementelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menangani jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, kedudukan Singapura yang tidak jauh dari Malaysia dengan cuaca yang hampir sama panas mencatatkan jumlah jangkitan yang semakin tinggi dan berada di kedudukan kedua epidemik selepas Republik China.

Setakat Isnin, republik itu mengesahkan sejumlah 77 kes positif Covid-19 yang rata-ratanya melibatkan warga tempatan tiada rekod perjalanan ke China.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia pula, setakat Ahad lalu sebanyak 22 kes positif wabak tersebut dilaporkan dengan kes terbaru membabitkan seorang wanita berusia 83 tahun warga Amerika Syarikat (AS) yang merupakan antara penumpang kapal persiaran yang berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lalu.

Siap sedia

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan pihaknya akan terus memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan maklum balas bagi menghadapi penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

KKM turut menegaskan penularan wabak tersebut adalah terkawal dan menasihatkan agar rakyat jangan panik, tidak terlalu takut atau ada stigma terhadap individu yang pulang dari China atau kontak terdekat.

Tindakan sewajarnya telah dilakukan termasuk mengasingkan mereka yang tiba dari China sekiranya mempunyai simptom jangkitan selama dua minggu.

Pengalaman Malaysia berdepan dengan krisis kesihatan seperti virus zika, influenza dan nipah pada masa lalu membolehkan negara ini sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang penularan penyakit berjangkit.

Kedudukan Malaysia di tangga ke-18 Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) 2019 daripada 195 negara menunjukkan kemampuan yang baik dalam mencegah, mengesan dan bertindak terhadap penularan penyakit berjangkit.

Menurut survei yang dibuat oleh GHS, Malaysia di tangga ketiga di Asia dalam kesiapsiagaan menghadapi wabak penyakit berjangkit selepas Thailand dan Korea Selatan.

Sehubungan itu, masyarakat perlu meletakkan keyakinan terhadap keupayaan kerajaan khususnya KKM yang sedang bertungkus-lumus memberi perlindungan terbaik kepada rakyat daripada ancaman penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, dalam mengharapkan usaha kerajaan menangani ancaman wabak itu, rakyat juga diingatkan agar tidak ‘memanaskan’ lagi isu Covid-19 dengan menyebarkan berita-berita palsu yang hanya akan mengundang panik dan ketakutan awam.

* Arney Syema Anua ialah Web Master portal Sinar Online

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!