IKM bantu lebih 6,000 koperator

Mohd Hatta (lima dari kanan) bersama lima penerima sijil MiRiCLe pada Program Modal Insan Keusahawanan Koperasi di Pusat Konvensyen Marina Island di Lumut, Perak semalam.
Mohd Hatta (lima dari kanan) bersama lima penerima sijil MiRiCLe pada Program Modal Insan Keusahawanan Koperasi di Pusat Konvensyen Marina Island di Lumut, Perak semalam.
A
A
A

LUMUT - Program Modal Insan Keusahawanan Koperasi yang berakhir semalam berjaya mencapai objektif bagi mempertingkatkan semangat keusahawanan lebih 6,000 koperator di seluruh negara.

Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKM), Ariffin Mamat berkata, inisitif itu adalah komitmen IKM bagi membantu kerajaan mencapai aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 yang bersifat inklusif dengan memberi penekanan kepada golongan B40 menerusi keusahawanan koperasi.

“Kita bawa maklumat berkaitan peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensinya dalam mencapai aspirasi kerajaan iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 melalui forum yang dijalankan, koperator, usahawan dan orang awam.

“Dasar yang disediakan sudah lengkap dan mantap tetapi masih ramai tidak tahu peranannya. Kerajaan menyediakan banyak kemudahan untuk dimanfaatkan,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Program Modal Insan Keusahawanan Koperasi yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli di Pusat Konvensyen Marina Island di sini semalam.

Ariffin berkata, IKM akan mengadakan program susulan bagi memperkasakan koperator untuk lebih berdaya maju, sekali gus memacu hala tuju pembangunan usahawan negara.

“Hasil program ini, kita memperoleh data minat peserta untuk menceburi bidang sama ada pertanian, hartanah, peruncitan dan sebagainya.

“Kita akan buat susulan dengan latihan dan bimbingan supaya mereka boleh menjadi usahawan yang berdikari. Ia adalah antara usaha kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat terutama golo-ngan B40,” katanya.

Ariffin berkata, menjadi objektif IKM membantu usahawan koperasi itu merapatkan jurang pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hatta (tiga dari kiri) dan Ariffin (kanan) melawat gerai usahawan Kraypek.
Mohd Hatta (tiga dari kiri) dan Ariffin (kanan) melawat gerai usahawan Kraypek.

“Selepas ini kita akan adakan kursus bersasar melalui lima teras strategik supaya mereka mendapat pengetahuan dan kesedaran mengenai peluang perniagaan.

“Selain itu, mereka juga mendapat kemahiran, pentadbiran dan merancang pernia-gaan. Kita turut bawa dana melalui pinjaman Tekun Nasional, Bank Rakyat, Geran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada mereka yang layak.

“Kelayakan tersebut adalah berdasarkan semangat dan perancangan bisnes yang mereka ada, selain melihat rekod perniagaan yang baik,” katanya.

Menurutnya, IKM telah merancang pelbagai program outreach kepada seramai 5,000 koperator di seluruh negara dan menyasarkan seramai 250 usahawan baharu dilahirkan dalam kalangan usahawan koperasi.

Pada majlis itu, forum DKN 2030 bertajuk Peranan Agensi dan Koperasi ke Arah Kemakmuran Bersama menampilkan seramai empat panel iaitu Timbalan Pengarah SKM Perak, Juliza Jaafar; Pengarah SME Corp Perak, Maslinda Zulkifly; Pegawai Perhubungan Angkasa Perak, Ashraf@Muhammad Ashraf Nazaruddin dan Pengurus Tekun Nasional Perak, Mohd Anuar Salleh.

Forum itu dikendalikan oleh Pengarah Zon Tengah IKM, Dr Zurita Mohd Saleh.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, kementeriannya sedia membimbing koperasi yang tidak aktif untuk bangkit semula supaya berperanan dalam memacu hala tuju pembangunan usahawan negara.

Menurutnya, sebanyak 14,626 koperasi telah berdaftar di bawah SKM dengan keahlian melebihi seramai enam juta orang di seluruh negara sehingga 31 Disember 2019.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 4,000 koperasi dikenal pasti tidak aktif kerana ada yang tidak mengadakan mesyuarat dan ada juga permohonan untuk membatalkan (koperasi).

“Namun, ada juga yang datang untuk mencari jalan (menggerakkan semula koperasi). Kami akan cuba membantu mereka merejuvenasikan semula supaya pembangunan koperasi dapat menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Mohd Hatta berkata, hasrat untuk meremajakan kembali koperasi perlu bermula daripada ahli koperasi itu sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!