Kemelut Bersatu Perlis: tunggu hasil siasatan
ALOR SETAR - Bersatu akan meneliti hasil siasatan berhubung kemelut yang melanda Bersatu Perlis sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk kemungkinan merombak kepemimpinan parti di negeri itu.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya percaya hasil siasatan dalaman itu akan diketahui dalam tempoh terdekat.
"Apa yang didedahkan Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan perlu diberikan perhatian serius memandangkan terdapat laporan polis berhubung pendedahan beliau.
“Bersatu adalah sebuah parti yang amat menekankan aspek integriti, jika ada dakwaan sebegitu, pastinya kita akan lakukan siasatan menyeluruh,” katanya selepas menyertai kayuhan pra pelancaran perlumbaan basikal Fun Ride 40km sempena Red Eagle Tour 2019 di Medan Bandar di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah yang turut serta menyempurnakan kayuhan itu.
Menurutnya, disebabkan itu ibu pejabat Bersatu diketuai Setiausaha Agung, Datuk Marzuki Yahya mengambil alih kepemimpinan Bersatu Perlis bagi membolehkan siasatan dibuat.
“Langkah ini juga bagi meredakan keadaan. Siasatan dimulakan dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya demi menjaga nama baik parti. Semua jawatan di kepemimpinan Bersatu Perlis dibekukan termasuk tindakan pengguguran Wan Saiful sebagai Setiausaha.
“Mengikut peraturan, lantikan seperti setiausaha, ketua penerangan dan bendahari peringkat negeri dibuat pengerusi negeri, Ameir Hassan. Dia ada hak melantik atau gugurkan individu namun disebabkan wujud pelbagai dakwaan, seluruh kuasa kepemimpinan negeri ditangguhkan,” katanya.
Mukhriz berkata, semua pihak perlu bersabar dan kedudukan Ameir juga akan ditentukan berdasarkan kepada hasil siasatan, walaupun wujud gesaan tiga bahagian parti itu mahu beliau ditukarkan.
“Setelah dapat hasil siasatan, kita akan ambil tindakan jika perlu, termasuk kemungkinan pelantikan baharu. Kita akan teliti pandangan daripada semua pihak terlibat, termasuk tiga bahagian, iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar,” katanya.
Beliau turut mengesahkan kemelut itu dalam pengetahuan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun isu berkenaan belum dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti.
Khamis lalu, Bersatu pusat mengambil alih kepemimpinan Bersatu Perlis susulan kemelut dalaman yang melanda parti itu.
Marzuki berkata, keputusan itu dibuat mengikut Fasal 14, Perlembagaan Bersatu bagi menyelesaikan konflik yang bermula apabila Wan Saiful digugurkan jawatannya dengan alasan kesibukan menguruskan PTPTN.
Bagaimanapun, Wan Saiful mendakwa pengguguran itu berpunca daripada krisis integriti kepemimpinan Bersatu Perlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!