Atletico ajar Liverpool erti kekalahan
PENGENDALI Atletico Madrid, Diego Simeone mengakui aura di Stadium Wanda Metropolitano menjadi faktor pasukannya berjaya menewaskan Liverpool dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik LIga Juara-Juara awal pagi tadi.
Menurutnya, penyokong memainkan peranan penting memberikan semangat kepada pemain menewaskan juara Eropah itu yang memegang status tanpa kalah dalam beberapa kejohanan serta dilabel sebagai pasukan terbaik di dunia.
"Dalam lapan tahun saya bersama Atletico, saya tidak pernah melihat aura seperti ini. Atmosferanya sangat hebat. Ia membuatkan anda ingin bermain dengan baik.
"Pasukan pula memberikan aksi terbaik dengan sokongan pasu peminat. Mungkin kami tidak menang piala hari ini, tetapi ia akan menajdi malam yang tidak akan dapat dilupakan.
"Pasukan terbaik di dunia datang ke tempat kami dengan deretan kemenangan dan akhirnya kami berjaya menewaskan mereka," katanya.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal yang juga gol kemenangan Atletico dijaringkan pemain tengah mereka Saul Niguez pada minit ke-4.
Kata Simeone lagi, mereka sebenarnya berhak untuk menjaringkan lebih banyak gol melalui beberapa serangan balas yang digerakkan pasukannya dalam perlawanan tersebut.
"Ia adalah perlawanan yang sudah kami jangka berdepan pasukan kuat dan pemain yang berbakat. Tetapi, kami cuba bermain dengan baik dan bertahan.
"Kami juga mempunyai beberapa peluang ketika serangan balas untuk menjaringkan lebih banyak gol. Namun, semua pemain telah melakukan tugas dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!