Rumah 140 tahun Tukang Kahar kini dibuka untuk lawatan
KUALA PILAH - Rumah ‘Tukang Kahar’, kediaman seorang tukang kayu yang terkenal dengan seni ukiran dan pembinaan yang unik di Negeri Sembilan suatu ketika dahulu telah mula dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula 10 Februari lepas.
Rumah berusia 140 tahun itu terletak bersebelahan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, di sini yang memaparkan kehebatan seni bina pertukangan Melayu tanpa menggunakan paku, sebenarnya telah dipindahkan daripada tapak asalnya di Kampung Tengah dekat sini.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Shamsuddin Ahmad berkata, rumah Tukang Kahar telah melalui fasa baik pulih dan ketika ini hanya 15 pelawat dibenarkan berada di atas rumah kayu berkenaan pada satu-satu masa, dengan waktu lawatan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Tukang Kahar atau nama sebenarnya Kahar Siak Bakhi merupakan seorang tukang kayu dan pengukir yang berasal dari Kampung Tengah. Tukang Kahar mewarisi ilmu dan kemahiran pertukangan daripada bapanya, Siak Bakhi, yang juga bekerja sebagai tukang kayu dan berasal dari Acheh.
“Seni ukiran yang dihasilkan oleh Tukang Kahar sangat berlainan dengan ukiran milik tukang lain. Oleh kerana hasil tangannya yang unik ini, maka beliau hanya terlibat dalam kerja pertukangan bangunan penting seperti istana dan masjid dan tidak melibatkan diri dalam pertukangan rumah kediaman, melainkan rumah miliknya sendiri. Ini bagi memastikan kualiti seni ukiran yang dihasilkan tetap terpelihara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Shamsuddin berkata, berikutan keunikan hasil pertukangan itu, Tukang Kahar diberikan kepercayaan untuk membina Istana Lama Seri Menanti, istana kayu setinggi empat tingkat dengan menggunakan pasak.
“Istana berkenaan mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki dan kerja pembinaan bermula pada 1902 dan siap pada 1908 manakala kediamannya telah dibina pada 1880-an,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!