CCTV rakam pemandu lori buang sampah haram
KUALA LUMPUR - Kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran kawasan Pasar Moden Seri Gombak Fasa 3 berjaya merakam kegiatan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram di sini.
Rakaman CCTV itu turut berjaya merekodkan nombor pendaftaran pemilik lori yang dikesan membuang sampah di kawasan hotspot itu.
Menerusi kemaskini di laman Facebook Majlis Perbandaran Selayang (MPS), anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dilaporkan telah ke kediaman pemilik lori berkenaan dan mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 kepada pihak terbabit.
"Menerusi rakaman CCTV itu, MPS membuat semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenalpasti pemilik lori berkenaan.
"Kompaun ini dikeluarkan di bawah Seksyen 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MPS) 2007," katanya.
Dalam pada itu, MPS memaklumkan pemasangan CCTV di beberapa kawasan hotspot sebelum ini adalah merupakan satu inisiatif yang diambil PBT itu bagi membendung kegiatan pembuangan sampah haram di sekitar kawasan Selayang.
Katanya, langkah ini adalah juga sebagai pencegahan bagi menggelakkan kegiatan berkenaan terus berleluasa.
"MPS amat memandang serius tentang kegiatan ini dan akan terus melakukan pemantauan bagi memburu mana-mana individu yang melakukan kesalahan tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!