Bilal masjid dibakar lelaki bertopeng ketika hendak azan Subuh

Seorang bilal Masjid Al-Hasanah, Taman Rakyat di sini, melecur di beberapa bahagian badan selepas disimbah minyak sebelum dibakar oleh individu yang tidak dikenali, awal pagi tadi.
Seorang bilal Masjid Al-Hasanah, Taman Rakyat di sini, melecur di beberapa bahagian badan selepas disimbah minyak sebelum dibakar oleh individu yang tidak dikenali, awal pagi tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang bilal melecur teruk akibat disimbah dengan minyak sebelum dibakar oleh seorang lelaki bertopeng dalam kejadian di Masjid Al-Hasanah, Taman Rakyat di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, Amri Budin, 65, seperti biasa datang ke masjid berkenaan untuk mengalunkan azan solat Subuh sebelum didatangi suspek yang kemudian menyimbah minyak pada tubuhnya lalu menyalakan api.

Menceritakan kejadian tersebut menantu mangsa, Jarina Awang, 44, berkata, bapa mertuanya itu melecur teruk di bahagian muka, tangan, dan sebelah kiri tubuhnya.

"Seperti biasa ayah menunggang motosikal pergi ke masjid. Pagi tadi selepas sampai di masjid, ayah berjalan-jalan di luar masjid untuk melihat kain rentang mengenai satu kuliah agama.

"Tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang seorang individu memakai topeng muka datang ke arah ayah lalu menyimbah minyak dan menyalakan api ketika ayah sedang membaca maklumat pada kain rentang itu,"katanya kepada pemberita, hari ini.

No Image Caption

Kata Jarina, jemaah masjid yang menyedari kejadian itu segera membantu memadamkan api dan membuka baju bapa mertuanya sebelum salah seorang daripada mereka menghubungi seorang lagi anak mangsa, Shahrizal, 41.

Menurutnya, abang iparnya itu kemudian datang ke masjid tersebut bersama isterinya untuk membawa bapa mentuanya ke Hospital Sultanah Bahiyah, (HSB) di sini bagi mendapatkan rawatan.

Artikel Berkaitan:

Lelaki tersebut kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini kira-kira jam 9 pagi tadi, berhubung kejadian menimpa bapanya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan suspek.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!