MH370: Bekas pemimpin kerajaan BN perlu tampil beri penjelasan

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pemimpin tertinggi kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu yang mempercayai dakwaan tragedi kehilangan pesawat MH370 adalah merupakan plot bunuh diri sejak awal lagi perlu tampil memberi penjelasan kepada rakyat.

Selain itu, satu suruhanjaya antarabangsa wajar ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan pesawat udara Boeing 777 tersebut ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mendedahkan kerajaan Malaysia sejak awal percaya tragedi kehilangan pesawat itu ada kaitan plot bunuh diri.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, pengumuman stesen penyiaran berita luar negara, Australian Skynews bahawa mengenai pendedahan Abbott itu pastinya mengejut seluruh rakyat Malaysia dan Australia.

"Pemimpin BN yang sebelum ini menganggotai kerajaan perlu tampil bersuara menjawab dakwaan mengejutkan dibuat Abbott mengenai tragedi menimpa pesawat Malaysia Airlines, MH370.

"Satu suruhanjaya antarabangsa juga wajar ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan pesawat udara Boeing 777 tersebut ekoran dakwaan dibuat Abbot itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac 2014 itu mengorbankan keseluruhan 239 penumpang yang terdiri 50 rakyat Malaysia, enam rakyat Australia, 153 rakyat China, tujuh rakyat Indonesia, tujuh rakyat Perancis, tiga rakyat Amerika, dua rakyat New Zealand, dua rakyat Kanada, dua rakyat Ukraine bersama mangsa-mangsa lain dari pelbagai negara.

Semalam, Abbott yang merupakan perdana menteri ke-28 Australia yang mengetuai kerajaan negara itu sewaktu tragedi kehilangan MH370 berlaku, membuat pendedahan "tahap tertinggi" bahawa kerajaan Malaysia sejak awal percaya tragedi mengejutkan itu adalah plot bunuh diri.

Menurut laporan The Australian, Abbott menegaskan masa dua minggu adalah sangat jelas kepadanya bahawa pesawat itu hampir pasti sengaja dijatuhkan oleh juruterbang.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Pesawat malang berkenaan dipandu oleh Kapten Malaysia, Zaharie Ahmad Shah.

"Pemahaman saya - pemahaman yang sangat jelas saya - daripada peringkat tertinggi kerajaan Malaysia bahawa sejak awal-awal lagi mereka berpendapat ia adalah jenayah bunuh diri oleh juruterbang.

"Saya tidak akan mengatakan siapa kata kepada siapa. Tetapi saya menegaskan sekali lagi - Saya mahu sangat jelas - ia difahami di peringkat tertinggi bahawa ini adalah hampir pasti bunuh diri oleh juruterbang," kata Abbott.

"Pembunuhan diri besar-besaran oleh juruterbang," katanya melalui siri dokumentasi 'MH370: The Untold Story' yang akan ditayangkan selama dua siri bermula hari ini.

Kit Siang berkata, seluruh dunia sedang menantikan tayangan dokumentari pendedahan tragedi kehilangan pesawat MH370 itu yang mengandungi pendedahan butiran penting terbaharu.

"Dokumentari dua siri itu bakal memaparkan pendedahan penemuan penting terbaharu mengenai kehilangan pesawat MH370 yang hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang di atas kapal dan terus membingungkan pakar penerbangan, ahli keluarga dan masyarakat dari seluruh dunia sehingga kini," katanya.

Operasi mencari dan mengesan pesawat MH370 berakhir pada Mei 2018 apabila syarikat cari gali yang berpangkalan di Amerika Syarikat Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu setelah mencari lebih 112,000 km persegi di dasar laut dalam sepanjang lebih daripada tiga bulan.

Data satelit menunjukkan pesawat itu menyimpang dari laluan, membuat siri pusingan ke Selat Melaka dan kemudian ke arah Lautan Hindi.

"Selamat malam. Malaysia tiga-tujuh-sifar," adalah kata-kata terakhir diucapkan kapten kepada kawalan trafik udara sebelum pesawat itu hilang dari radar di pada jam 01:21.

Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370, dalam laporan 449 muka surat menyimpulkan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu, tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa 'gangguan menyalahi undang-undang' oleh pihak ketiga menyebabkan kejadian itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!