Penuntut UniSZA wajib jalani Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan
KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama di pantai timur yang melaksanakan program Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) kepada semua penuntutnya bagi melahirkan mahasiswa holistik, sihat dari sudut fizikal dan mental.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr Mohd Afandi Salleh berkata, program itu bertujuan meningkatkan tahap kecergasan seluruh warga universiti di samping melahirkan graduan yang sihat dari segi fizikal dan mental.
Menurutnya, universiti itu juga membangunkan sebuah aplikasi kesihatan 'UniWellness' yang boleh dimuat turun mahasiswa ke telefon pintar masing-masing bagi melihat perkembangan kecergasan mereka dari semasa ke semasa.
"UKJK akan dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini sehingga 7 Mac depan dan semua pelajar wajib menjalani ujian tersebut.
"Dengan adanya program ini, insya-ALLAH pihak universiti akan dapat memantau perkembangan kesihatan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka di UniSZA," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian UKJK di Dewan Gemilang, UniSZA di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian yang dilaksanakan termasuklah jangkauan melunjur, tekan tubi, bangkit tubi, lompat jauh berdiri serta larian sejauh 2.4 kilometer.
Jelasnya, pemeriksaan kesihatan juga akan dilakukan oleh penuntut Fakulti Sains Kesihatan dan dari Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA selain bagi mengenal pasti berat dan ketinggian mereka sama ada normal, obesiti atau tidak normal.
"UKJK bukan sahaja untuk memeriksa tahap kesihatan dan kecergasan, malah dapat memastikan mahasiswa UniSZA kekal cergas dan aktif sebelum, semasa dan selepas menjadi graduan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Program UKJK, Nor Faqid Idham Nasrul Nor Azali berkata, program itu menunjukkan keseriusan pihak UniSZA dalam merangka program berimpak tinggi kepada penuntut dalam memastikan mereka bukan sahaja cerdas dalam akademik, tetapi juga dari segi jasmani dan mental.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!