Peras ugut RM3 juta: Empat anggota, pegawai polis ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai empat pegawai dan anggota polis disoal siasat berhubung kes peras ugut dan rasuah sebanyak RM3 juta membabitkan penemuan makmal dadah di sebuah kondominium di Cheras di sini pada 12 Februari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan tangkapan itu berkata, pihaknya sedang mengambil tindakan dan mengumpul maklumat berhubung dakwaan tersebut.

"Kita telah menubuhkan pasukan siasatan bagi menyiasat perkara ini,” katanya pada sidang media pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau turut mengesahkan empat pegawai dan anggota polis yang ditahan itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, namun kes pembongkaran makmal memproses dadah di Cheras itu disiasat Polis Kuala Lumpur.

“Bagaimana pembabitan mereka (suspek) dalam kes ini akan disiasat. Mungkin apa yang dilakukan adalah tanpa pengetahuan pegawai kanan mereka.

“Kami akan melakukan siasatan secara menyeluruh dalam semua aspek dan tidak akan ada (pihak) yang akan terlepas dalam soal ini,” katanya.

Abdul Hamid berkata, siasatan kes berkenaan akan diambil alih oleh Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Wang (RM3 juta) itu masih belum ditemui. Siasatan ini masih di peringkat awal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, satu portal berita melaporkan empat pegawai dan anggota yang ditahan terdiri daripada Inspektor dan Koperal bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor.

Empat suspek berkenaan dikatakan ditahan di IPK Selangor jam 9.45 pagi, semalam, ekoran laporan polis dibuat seorang ahli perniagaan Taiwan berusia 49 tahun membuat laporan berhubung kejadian peras ugut dan rasuah berkenaan selepas dia ditahan dalam serbuan pembongkaran makmal memproses dadah berkenaan.

Isnin lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan, pihaknya menahan dua individu warga Taiwan, seorang warga China dan seorang warga tempatan berusia antara 30 hingga 49 tahun susulan pembongkaran makmal memproses dadah itu.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas 1,426 pil ekstasi dan 27,546 gram ketamin selain menyita kenderaan serta wang tunai dianggarkan bernilai RM2.23 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!