Sanggup datang awal pagi!
PERAI - Sanggup datang awal pagi kerana tidak mahu terlepas peluang menebus tiket Taman Tema Escape, Teluk Bahang secara percuma.
Itu suasana yang dapat dilihat apabila pembaca setia Sinar Harian mula datang beramai-ramai sejak jam 8.30 pagi bagi mendapatkan tiket di Pejabat Sinar Harian, Perai di sini.
Rata-rata mereka sanggup beratur panjang sementara menunggu kaunter menebus tiket yang dibuka bermula jam 10 pagi.
Pembaca, Norasyikin Ahmad,36, dari Sungai Petani antara yang terawal hadir pagi tadi untuk menebus 37 tiket selepas mengumpul ratusan keratan peraduan dari akhbar ini bersama ahli keluarganya.
Menurutnya, dia tidak akan melepaskan peluang setiap kali peraduan dianjurkan oleh Sinar Harian.
"Selepas mengetahui peraduan ini, saya dan ahli keluarga lain akan memborong akhbar ini bagi mengumpul token yang dikehendaki.
"Memang kami tak pernah ketinggalan membeli akhbar ini setiap hari malah saya akan ke kedai menjual akhbar pada sebelah petang dan membeli surat khabar sekiranya ada lebihan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Turut tidak melepaskan peluang, Zatil Omar,30, dari Kepala Batas yang menebus 20 tiket untuk membawa ahli keluarganya ke taman tema berkenaan pada musim cuti sekolah akan datang.
Zatil berkata, dia sudah lama merancang untuk mengadakan hari keluarga bagi menghimpunkan kesemua adik-beradik dan peluang mendapatkan tiket percuma ini digunakan sebaiknya untuk mereka menebus tiket masing-masing.
"Memang kami semua teringin nak ke Taman Tema Escape untuk bersantai dan beriadah di sini malah semua teruja mahu merasai sendiri menaiki gelongsor air terpanjang di dunia yang terdapat di situ.
"Setiap hari saya akan pastikan adik-beradik yang lain membeli surat khabar dan mengumpul token yang diperlukan...Alhamdulillah, impian kami untuk dapatkan tiket percuma tercapai," katanya.
Bagi Mohd Imran Lokman,22, pula, dia bersama tujuh rakannya sanggup datang dari Ipoh semata-mata mahu menebus tiket berkenaan.
"Selepas mengetahui mengenai peraduan ini di laman Facebook Sinar Harian, saya ajak rakan-rakan lain untuk turut sama mengumpul keratan yang diperlukan.
"Memang dah lama kami teringin nak ke Taman Tema Escape dan peluang ini kami akan gunakan untuk riadah dan mandi-manda bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!