MB Selangor jangan gopoh, pesan Otai Reformis 98

Abdul Razak (tiga dari kanan) bersama Saha (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Mohd Ridzuwan di lobi SUK hari ini.
Abdul Razak (tiga dari kanan) bersama Saha (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Mohd Ridzuwan di lobi SUK hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Otai Reformis 98 meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak gopoh dalam isu cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara.

Setiausaha Agungnya, Abdul Razak Ismail berkata, cadangan kerajaan negeri mahu memansuhkan status hutan berkenaan adalah tidak wajar kerana akan menjejaskan khazanah alam serta penduduk orang asli di sini.

Beliau berkata, sewaktu zaman pentadbiran UMNO pada 1994, kerajaan negeri pada waktu itu mengeluarkan pewartaan hutan simpan berkenaan dengan keluasan 404.69 hektar.

"Apa Otai Reformis nak cakap pada menteri besar adalah supaya beliau tidak gopoh kerana kamu sudah pecah rekod.

"Sewaktu pentadbiran UMNO-BN, cadangan pewartaan dikeluarkan adalah dengan keluasan 404.69 hektar namun pada zaman menteri besar kini, beliau cuba untuk mansuh 930.93 hektar.

"Kita sarankan beliau agar tak gopoh dan jangan sebab isu ini akan jatuhkan dia nanti," katanya selepas penyerahan memorandum bantahan cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara kepada Exco Alam Sekitar,Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini.

Memorandum yang dihantar bersama wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) diterima oleh Pengarah Perhutanan Selangor, Mohd Ridzuwan Endot yang mewakili Exco terlibat.

Mengulas mengenai memorandum berkenaan, Abdul Razak berkata, pihaknya memberi tempoh selama tujuh hari kepada pihak terlibat untuk menarik balik notis cadangan pemansuhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tiada sebarang maklum balas diterima, kami akan berhimpun di luar Bangunan SUK Selangor bersama orang asli dari tujuh perkampungan berhampiran hutan simpan terlibat," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden 1 Peka, Saha Deva berkata, kawasan yang terlibat dengan cadangan pemansuhan status hutan simpan berkenaan kaya dengan biodiversiti unik termasuk tupai pygmy yang hanya boleh ditemui di sana.

Katanya, lokasi itu merupakan satu-satunya kawasan hutan yang tinggal di daerah Kuala Langat dan ia juga sangat sensitif.

"Kehilangan hutan simpan ini hanya akan menguntungkan segelintir pihak sahaja jika dibandingkan dengan kesannya untuk jangka masa panjang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhalusi cadangan pemansuhan hutan simpan kekal, Kuala Langat Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!