Tiada penyelewengan, sumbangan kepada Palestin melalui NGO diaudit
KUALA LUMPUR - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tampil memberi penjelasan hari ini berkenaan sumbangan yang disalur rakyat Malaysia kepada Palestin melalui badan bukan kerajaan (NGO) negara ini diaudit dan didedah dalam laporan tahunan setiap tahun.
Menafikan dakwaan bahawa wujud 'penyelewengan' dana, Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan yang bertindak sebagai jurucakap menegaskan majoriti NGO berdaftar dan wajib berbuat demikian setiap tahun.
"Dalam laporan itu ada ditunjukkan berapa banyak kita terima sumbangan, berapa banyak diguna pakai," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat tergempar bersama sembilan lagi NGO yang membela hak dan nasib Palestin di sini hari ini.
Turut hadir, wakil Muslim Care Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Mission, MyCARE, Haluan Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MEDICOM, Cakna Palestin dan MAHAR.
Semalam, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali dilapor mendakwa bahawa sumbangan rakyat Malaysia untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid Al-Aqsa tidak sampai kepada pihak berkaitan di negara itu.
Zulkifli berkata, semua aktiviti sumbangan NGO selama ini adalah bagi memenuhi keperluan rakyat Palestin dan bukannya untuk pembangunan atau penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa.
"Sepanjang 17 tahun lalu, sejak Gaza dikepung rejim Israel pelbagai bantuan disalurkan NGO Malaysia dalam bentuk kewangan, makanan, perubatan, pendidikan, infrastruktur dan lain-lain. Semua ini ada dalam laporan kami dan boleh diperakui sendiri oleh rakyat Palestin.
"Masjid ini pula di bawah kerajaan Israel dan diuruskan Jabatan Wakaf Baitulmuqaddis di bawah Kementerian Wakaf Jordan, memang kita tak dibenarkan untuk buat apa-apa pun pembaikan di situ, dan satu sen pun memang kita tak pernah salur untuk tujuan itu.
"Kenyataan beliau merosakkan bukan hanya imej dan reputasi NGO di Malaysia tetapi juga kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Tuduhan yang melampau dan tidak berasas ini sepatutnya disertai dengan bukti dan bukan secara umum," katanya.
Katanya, beberapa NGO berkenaan akan turut membuat kunjungan ke atas Walid dalam masa terdekat untuk mendapatkan pencerahan lanjut akan dakwaan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!