Covid-19: Penumpang kapal Diamond Princess dibenar turun
TOKYO - Penumpang kapal persiaran Diamond Princess dibenarkan turun di Pelabuhan Yokohama, Jepun selepas dikuarantin selama dua minggu, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut pihak kerajaan, sekurang-kurangnya dalam tiga hari hampir 3,000 orang akan turun dari kapal itu yang mempunyai 542 kes disahkan koronavirus (Covid-19).
Kumpulan pertama terdiri kira-kira 500 penumpang warga emas yang disahkan bebas daripada virus itu dibenarkan turun selepas doktor selesai menjalankan pemeriksaan kesihatan terakhir.
Kapal persiaran itu membawa kira-kira 3,700 penumpang dan anak kapal dari lebih 50 negara dan wilayah.
Penumpang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, selatan Tokyo sejak 5 Februari selepas seorang penumpang yang turun di Hong Kong pada 25 Januari didapati positif dijangkiti virus itu.
Kementerian kesihatan berkata, semua sampel ujian telah dikumpulkan dan mereka yang dijangkiti dihantar ke pusat perubatan.
Penumpang yang turun akan dibawa ke Yokohama dan beberapa stesen kereta api di kawasan itu dan pulang ke rumah masing-masing menggunakan pengangkutan awam.
Menurut kementerian kesihatan, mereka yang berurusan dengan pesakit akan terus dipantau di atas kapal itu walaupun disahkan bebas daripada virus berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!