'Semua pihak perlu bertenang'
SHAH ALAM - Semua pihak diminta bertenang dan tidak perlu gusar dalam menangani polemik peralihan kuasa Perdana Menteri di antara penyandangnya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau yakin dan percaya Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berusaha mematuhi janji penyerahan kuasa kepada Anwar sebagaimana akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH Jumaat ini.
Abdullah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR meminta semua pihak supaya menghentikan polemik peralihan kuasa terbabit dan kembali fokus menangani cabaran ekonomi negara yang memerlukan keputusan drastik kerajaan.
"Cuma saya berharap keputusan polemik peralihan kuasa yang akan dibincangkan dibuat secara harmoni dan terbaik.
"Jangan kita berterusan membuat spekulasi yang akan memeningkan banyak pihak. Sebaliknya kita serah kepada Majlis Presiden PH untuk membuat ketentuan terhadap perkara itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menegaskan akan meletakkan jawatan selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC 2020) pada November ini.
Bagaimanapun, nada berbeza dan lebih agresif disuarakan seorang pemimpin PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan yang menggesa mesyuarat Majlis Presiden PH wajib mengumumkan tarikh muktamad peralihan kuasa Perdana Menteri pada 21 Februari ini.
Menurutnya, kenyataan akhbar Dr Mahathir disiarkan pada 18 Februari lalu membuktikan beliau masih mengamalkan sikap diktator apabila mengetepikan segera keputusan Majlis Presiden PH yang belum lagi berlangsung.
"Dalam kenyataan akhbar itu, Dr Mahathir beri isyarat keputusan Majlis Presiden PH tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap keputusan yang hanya melepaskan jawatan selepas persidangan APEC 2020. Apa guna mesyuarat jika keputusan sudah ditentukan?
"Andainya Sidang Kemuncak APEC 2020 ditangguhkan ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19), adakah itu bermakna tempoh Perdana Menteri ketujuh juga akan dianjakkan hingga ke sidang APEC tahun berikutnya?" soalnya.
Justeru, Edy meminta Majlis Presiden PH lebih tegas dan teliti dalam menentukan tarikh muktamad peralihan kuasa Perdana Menteri pada 21 Februari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!