YDP MPAG ketuai Bersatu Alor Gajah
ALOR GAJAH - Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MAPG), Zamzuri Ariffin menang dalam pemilihan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Alor Gajah.
Keputusan itu diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Negeri, Shamsir Haron petang tadi.
Dalam keputusan itu, beliau menewaskan pencabarnya, Khairuddin Tajan dengan majoriti 345 undi selepas memperoleh 683 undi.
Jawatan timbalan ketua disandang Nazri Abu Kasim dengan memperoleh 592 undi, menewaskan Prof Datuk Mohd Yazid Abd Manap (395 undi) dan Mohd Akhir Ayub (114 undi).
Pertandingan bagi jawatan naib ketua menyaksikan Mohd Raduan Ja'apar menewaskan pencabarnya selepas mendapat 712 undi manakala Fauzi Afandi hanya mendapat 284 undi.
Pada pemilihan itu, 1,031 perwakilan dari 20 cawangan menghadiri persidangan bahagian yang diadakan di kawasan masing-masing.
Sementara itu, Zamzuri yang ditemui bersyukur dan berterima kasih kepada perwakilan serta semua ahli parti yang memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui Bersatu Bahagian Alor Gajah.
Menurutnya, kemenangan itu memberi ruang kepada beliau untuk terus menyatukan bangsa seperti yang dibawa oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Apa yang penting adalah untuk bangunkan parti, menyatukan ahli parti dan harap Bersatu Alor Gajah mampu menjadi bahagian terbaik di Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!