Perubahan iklim rumitkan lagi rundingan air dengan Singapura

Dr Azizan Abu Samah
Dr Azizan Abu Samah
A
A
A

SHAH ALAM - Perubahan iklim yang berlaku sekarang dijangka menyebabkan Johor akan mengalami krisis air pada masa hadapan dan ini seterusnya bakal merumitkan lagi rundingan semula perjanjian air antara Malaysia dan Singapura.

Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudra Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, apabila isu air dibincangkan, ia sebenarnya berkait dengan isu pemanasan global.

“Kita tengok Selangor pun dah ada masalah sekuriti dari segi air dan saya rasa Johor pada masa hadapan akan turut menghadapi masalah air.

“Jadi orang Johor kenalah peka dengan perkara ini jangan berdiam diri,” katanya selaku ahli panel pada Wacana Sinar Harian Siri ke-158 bertajuk Perjanjian Air Malaysia-Singapura: Siapa Rugi, Siapa Untung? di sini malam kelmarin.

Selain Dr Azizan, ahli panel lain ialah Pakar Undang-undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir dan Pengerusi Kongres Rakyat Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, manakala Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar pula bertindak sebagai moderator.

Hujah beliau turut dipersetujui Syed Munawar kerana Singapura sendiri sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Johor akan mengalami krisis air pada 2061 berdasarkan kepada realiti perubahan iklim semasa.

Menurutnya, perubahan iklim akan menyebabkan bekalan air mentah di Johor sendiri akan berkurangan apatah lagi untuk terus membekalkan bekalan air mentah kepada Singapura.

Beliau berkata, untuk mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air mentah dari Malaysia, Singapura juga merancang untuk menjalankan pelbagai usaha termasuk menghasilkan air baru menerusi proses osmosis berbalik selain merancang untuk mengimport air dari Papua New Guinea.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia untuk menjaga keselamatan air mereka kerana perkara itu turut mempengaruhi isu keselamatan nasional negara berkenaan.

Dari kiri: Sayed Munawar, Salawati, Khairul Faizi dan Azizan pada sesi Wacana Sinar Harian di Shah Alam malam kelmarin. - Foto Mohd Izari Rosli
Dari kiri: Sayed Munawar, Salawati, Khairul Faizi dan Azizan pada sesi Wacana Sinar Harian di Shah Alam malam kelmarin. - Foto Mohd Izari Rosli

“Tapi buat macam mana sekalipun, disebabkan kekangan fizikal, mereka tetap akan bergantung kepada sumber luar. Jadi sebab itu saya kata kalau Singapura tak pandai mengambil hati jiran mereka seperti Malaysia dan Indonesia, akhirnya mereka akan rugi.

“Itu yang saya katakan duit tidak boleh membeli muhibah dan Singapura perlukan muhibah sebab mereka adalah sebuah negara yang kecil,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, rundingan semula perjanjian air mentah antara Malaysia dan Singapura perlu dibuat sekarang jika negara mahu mendapatkan keuntungan daripada pembekalan air itu dan bukan menunggu perjanjian itu berakhir pada 2061.

“Pada saya kalau kita nak buat negosiasi dalam keadaan lebih untung, kita kena buat sekarang bukan 2061 kerana pada tahun 2061 ia (Singapura) akan buat beberapa rancangan agar 100 peratus air dia dapat bekalkan sendiri.

“Bagaimanapun, Singapura memerlukan air lebih untuk menampung populasi rakyatnya seramai tujuh juta orang pada 2061. Itu kekangannya, unjuran pada 2061 rakyatnya bertambah kepada tujuh juta orang jadi mereka kena tambah mungkin sebanyak 400,000 juta liter air sehari,” katanya.

Menurutnya, untuk jangka masa panjang Singapura akan mengalami kerugian sekiranya perjanjian itu tidak diperbaharui kerana semakin lama negara itu akan menjadi sebuah negara yang kecil kerana perkembangan ekonomi negara jiran mereka, Malaysia dan Indonesia.

“Sebenarnya, Singapura juga tak akan benarkan anak cucu mereka minum air yang melalui proses penyulingan kerana terdapat bahan kimia yang tidak boleh ditapis keluar melalui proses itu.

“Jadi air baharu yang dihasilkan melalui proses penyulingan itu digunakan untuk kerja-kerja pembersihan untuk sektor industri,” katanya ketika mengulas pandangan seorang penonton, Hamid Mohamad yang mendakwa Singapura tidak mahu harga air mentah dinaikkan kerana mahu membiayai projek penyulingan air yang mereka laksanakan.

Justeru, katanya, untuk mendorong Singapura bersetuju melakukan rundingan semula Perjanjian Air Malaysia-Singapura atau turut dikenali sebagai Perjanjian Air Sungai Johor 1962, rakyat Johor sendiri perlu melakukan tuntutan kerana bekalan air mentah itu adalah hak mereka.

Dr Azizan berkata, sekiranya orang Johor sendiri marah atau tidak berpuas hati dengan perjanjian lapuk berkenaan, ia menjadi satu tekanan kepada Singapura untuk bersetuju melakukan rundingan semula.

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal semak semula harga air bukti Singapura tidak ikhlas

Teroka teknologi simpan air hujan

Amaran krisis bekalan air

Bil air lebih mahal jika guna teknologi lebih canggih

Perjanjian air: Malaysia berhak semak selepas 25 tahun

Bekalan air di Perlis hanya bertahan empat bulan

Sudah tiba masa Malaysia bertegas dengan Singapura

Malaysia mahu RM3 bukan 3 sen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!