Tokan gadis kena cekup sedang berehat di chalet
LANGKAWI - Seorang gadis bersama dadah disyaki heroin dan syabu ditahan di sebuah chalet di Jalan Pantai Chenang di Langkawi kelmarin.
Gadis berusia 22 tahun dipercayai tokan dadah itu sedang berehat di dalam bilik dipercayai menunggu pelanggan sebelum ditahan kira-kira jam 3 petang.
Ketua Polis Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, gadis berkenaan menyewa bilik di chalet itu bagi tujuan untuk memproses dadah dan dijual di sekitar pekan ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati dia memiliki satu peket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 50.12 gram (g) bernilai lebih kurang RM1,000.
"Satu peket plastik lut sinar mengandungi serbuk ketulan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 0.12g bernilai lebih kurang RM50," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Mohd Iqbal berkata, ketika serbuan, hanya suspek berada di dalam bilik di chalet berkenaan ketika tangkapan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.
“Suspek adalah penganggur dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif morfin. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!