The Red Devils terpaksa sisih Rashford
MANCHESTER United terpaksa melupakan khidmat Marcus Rashford yang masih belum pulih kecederaan menjelang kunjungan ke Belgium menentang Club Brugge di Stadium Jan Breydel awal pagi esok pada saingan timbal balik pertama Pusingan 32 Terbaik Liga Europa.
Pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solksjaer berkata, pemain berusia 19 tahun itu masih belum pulih sepenuhnya kecederaan yang dialami ketika aksi menentang Wolverhampton pada aksi ulangan Piala FA pertengahan Januari lalu.
Menurutnya, dia menjangkakan kecederaan dialami mesin gol The Red Devils itu yang sudah menyumbat 19 gol musim ini mengambil masa beberapa bulan untuk kembali pulih.
"Saya berharap dia (Rashford) bermain baki saingan musim ini, tetapi secara realistiknya dia memerlukan masa dan situasi ini berpotensi menuju penghujung musim.
"Saya bukan doktor tapi saya amat harap dia akan pulih lebih cepat dan kemudiannya berpeluang beraksi dalam beberapa bulan bagi baki saingan musim ini.
"Cumanya apabila melihat situasi terkini kecederaan dialaminya itu ternyata lebih dari kami bayangkan," katanya.
Berdasarkan situasi semasa tonggak England itu juga dijangka bakal terlepas beberapa aksi Euro 2020 pada Jun depan.
The Three Lions kendalian Gareth Southgate dijangka memulakan kempen peringkat Kumpulan D menentang Croatia pada 14 Jun.
"Saya berharap dia bermain sebelum itu [Euro 2020], tetapi jika dia tidak cukup fit, dia tidak akan pergi," tegas pengendali dari Norway itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!