Pemandu lori tersepit, kelindan tercampak
DUNGUN - Seorang pemandu lori menahan sakit hampir setengah jam akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya merempuh dua treler yang diparkir di tepi jalan di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Rantau Abang di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, Mohd Yusry Salleh, 40, dari Tepoh Kuala Terengganu patah bahu kanan manakala kelindannya, Muhammad Asyraf Masri, 19, mengalami kecederaan bahagian dalaman badan akibat tercampak ke luar kenderaan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kenderaan berat dipenuhi muatan buku dalam perjalanan dari arah Dungun ke Kuala Terengganu.
"Setibanya di lokasi, difahamkan kenderaan dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh dua buah treler yang diparkir di tepi jalan.
"Rempuhan kuat itu menyebabkan lori dipandu terbalik dan akibatnya kelindan lori tercampak keluar manakala pemandu lori terbabit tersepit di tempat duduk," katanya.
Baharudin berkata, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan dan mereka dilaporkan stabil.
"Sepasukan lapan anggota Bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun dipanggil bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Kes disiasat di bawah seksyen 43(1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!