Biodiesel B20 tingkat permintaan minyak sawit negara: TPM

Dr Wan Azizah (kanan) menerima cenderahati daripada Teresa pada Pelancaran Program Biodiesel B20 Sektor Pengangkutan di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah (kanan) menerima cenderahati daripada Teresa pada Pelancaran Program Biodiesel B20 Sektor Pengangkutan di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu berani menggandakan penggunaan biodiesel sawit bagi mengukuhkan industri dan ekonomi negara serta mengurangkan kebergantungan import diesel.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program penggunaan Biodiesel B20 dalam sektor pengangkutan dapat meningkatkan permintaan minyak sawit dan memperkukuhkan harga komoditi.

Menurutnya, program Biodiesel B20 yang merupakan adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dan 80 peratus diesel petroleum sedang dilaksanakan secara berfasa sejak Januari lalu bermula di Langkawi dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Seterusnya Sabah dan Sarawak dan fasa terakhir di Semenanjung Malaysia berdasarkan kesediaan naik taraf depoh pengadunan biodiesel dengan kerjasama syarikat petroleum.

"Saya yakin program Biodiesel B20 dalam sektor pengangkutan dapat mewujudkan permintaan baharu untuk bekalan minyak sawit yang tinggi dalam negara mulai tahun ini.

"Pembangunan mampan dan berterusan industri sawit negara juga akan membantu seramai 650,000 pekebun kecil sawit yang memerlukan dasar yang dapat membantu meningkatkan ekonomi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Biodiesel B20 di Sektor Pengangkutan Secara Berfasa di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Artikel Berkaitan:

Wan Azizah berkata, berdasarkan data saintifik, hasil kajian dijalankan pihak kementerian dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati penggunaan B20 tidak mendatangkan masalah pada enjin kenderaan selain pengurangan pelepasan debu dan asap hitam.

Dari konteks pemeliharaan alam sekitar menurutnya, penggunaan biodiesel sawit berupaya mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas–GHG) dan mengurangkan pencemaran udara.

Sementara itu, Teresa berkata, program Biodesel B20 dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara pada Jun tahun depan dengan pertambahan penggunaan minyak sawit sehingga 534,000 tan setahun.

"Syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP akan membekalkan Biodesel B20 secara berfasa ke lebih 3,400 stesen minyak.

"Euro7 masih dijual di stesen minyak tertentu manakala Biodesel B7 akan terus dibekalkan di stesen minyak di tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang," katanya.

Teresa berkata, sebanyak 1.3 juta tan minyak sawit akan digunakan setahun menerusi pelaksanaan Biodiesel B20 dalam sektor pengangkutan dan pengekalan Biodiesel B7 dalam sektor industri.

Pelaksanaan program itu menurutnya, menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan karbon dioksida setara setahun.

Pada 1 Februari tahun lalu, kerajaan melaksanakan secara mandatori program Biodiesel B10 (adunan 10 peratus PME dan 90 peratus diesel petroleum) dalam sektor pengangkutan.

Bagi Biodiesel B7 (adunan tujuh peratus PME dan 93 peratus diesel petroleum) pula dilaksanakan secara mandatori dalam sektor industri mulai 1 Julai tahun sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!