Perhilitan siasat 'buaya sebesar bas' di Sungai Selangor

Gambar seekor buaya menyusuri Sungai Selangor di Kampung Kuantan, di sini, tular di Facebook semalam.
Gambar seekor buaya menyusuri Sungai Selangor di Kampung Kuantan, di sini, tular di Facebook semalam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan gambar seekor buaya menyusuri Sungai Selangor di Kampung Kuantan di sini yang tular di media sosial diambil oleh seorang pemancing semalam.

Pengarahnya, Haidar Khan Mokbolhasan berkata, pihaknya menerima laporan kehadiran buaya itu kira-kira jam 9.30 pagi

"Hasil siasatan kami mendapati pengadu yang juga pemancing berusia 41 tahun melihat buaya itu ketika memancing di kawasan berkenaan.

"Pemancing yang berasal dari Puncak Alam kemudian bertindak mengambil gambar reptilia berkenaan," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian.

Menurut Haidar, kakitangannya telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

"Malah, tindakan segera diambil untuk keselamatan khususnya pengunjung dan pemancing yang menyusuri sungai itu berikutan ia menjadi tumpuan habitat kelip-kelip," katanya.

Haidar berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati semasa menjalankan aktiviti rekreasi di sungai dan memaklumkan pada pihak Perhilitan sekiranya terlihat reptilia itu.

"Sebarang aduan, orang ramai boleh salurkan terus ke Hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, gambar seekor buaya menyusuri sungai di Kampung Kuantan di sini, tular di media sosial Facebook semalam.

Sebuah laman Facebook yang memuat naik status itu memaklumkan, reptilia yang ditemui di Sungai Selangor itu terlalu besar.

"Sado Sungai Selangor kawasan Kampung Kuantan. ‘Besar bas’ guys," katanya.

Status dan gambar yang dimuat naik Ahmad Mustain itu mendapat pelbagai tanda reaksi dan komen daripada pengendali Facebook lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!