FAM umum nama tiga pengadil wanita

Rita (tengah) mengadili perlawanan Piala Dunia Wanita antara Switzerland dan Ecuador di Stadium BC Place, Vancouver pada 12 Jun 2015.
Rita (tengah) mengadili perlawanan Piala Dunia Wanita antara Switzerland dan Ecuador di Stadium BC Place, Vancouver pada 12 Jun 2015.
A
A
A

PENGADIL Terbaik Wanita Asia 2014, Rita Gani, 43, secara rasmi diumumkan sebagai salah seorang pegawai perlawanan wanita yang bakal mengadili aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Selain Rita, seorang lagi pengadil, Nurul Ain Izatty Zainal, 22, serta penolong pengadil, Nur Akmal Anuar, 32, turut mendapat kepercayaan FAM bagi menggalas tugas pada kempen Liga-M 2020.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, langkah untuk memperkenalkan pengadil wanita di pentas tertinggi saingan bola sepak negara ini adalah bagi menambah minat golongan wanita menceburi bidang kepengadilan.

"Ketiga-tiga pengadil itu telah mengadili perlawanan membabitkan pasukan wanita sama ada di pentas antarabangsa. Rita dan Nur Akmal merupakan Pengadil FIFA dan Penolong Pengadil FIFA manakala Nurul Ain cukup berpengalaman mengendalikan perlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun.

"Malah, mereka juga sudah biasa mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan lelaki iaitu Piala Presiden dan Piala Belia beberapa musim kebelakangan ini.

"Jadi tahun 2020 ini bakal menjadi lonjakan buat ketiga-tiga mereka ini untuk mencabar kemampuan dengan mengendalikan perlawanan di peringkat yang lebih tinggi iaitu Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Saya berkeyakinan tinggi bahawa Rita, Nurul Ain dan Nur Akmal mampu menyahut cabaran ini dan akan melaksanakan tugas yang diberi nanti dengan sebaik mungkin," kata Hamidin dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid memberitahu, ketiga-tiga pengadil terbabit akan dilantik untuk tugasan bagi perlawanan Liga Premier terlebih dulu sebelum dinaikkan pangkat untuk mengendalikan aksi Liga Super.

Artikel Berkaitan:

"Untuk permulaan, mereka akan mengadili perlawanan-perlawanan Liga Premier dan juga Piala FA yang mana Nur Akmal akan menjadi penolong pengadil bagi perlawanan pusingan pertama antara SSFC dan Kickers FC di Padang Merdeka, Port Dickson pada Sabtu ini.

"Selepas melihat dan memantau prestasi mereka dalam beberapa perlawanan Liga Premier dan pusingan awal Piala FA selain mereka sendiri sudah cukup bersedia meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi, baru kita akan lantik mereka untuk perlawanan Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!