Peringkat akhir muktamad mekanisme subsidi petroleum

Amiruddin (dua, kiri) pada sidang media, hari ini.
Amiruddin (dua, kiri) pada sidang media, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan mekanisme subsidi petroleum bersasar yang dijangka dikuatkuasakan menjelang suku kedua tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, pihaknya masih meneliti beberapa permintaan untuk cadangan (RFP) daripada syarikat yang menawarkan sistem berkenaan.

Menurutnya, kerajaan juga tidak menolak kemungkinan mengadakan latihan percubaan bagi memastikan sistem berkenaan menepati piawaian dikehendaki.

“Buat masa ini, kita masih selesaikan mekanisme ini dari aspek RFP, sebelum umumkan mekanisme terbaik,” katanya, selepas program kayuhan pra pelancaran perlumbaan basikal Fun Ride 40km sempena Red Eagle Tour 2019, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Amiruddin berkata, sistem berkenaan akan diuji terlebih dahulu bagi memastikan semua pihak sudah bersedia dengan mekanisme baharu itu.

“Kita buat latihan percubaan supaya apabila betul-betul dilaksanakan kelak, tidak timbul masalah besar. Jika dalam tempoh itu ada masalah berbangkit, kita dapat perbetulkan agar sistem itu lancar apabila dikuatkuasakan,” katanya.

Menurutnya, selepas kerajaan melaksanakan mekanisme subsidi petroleum bersasar, hanya golongan sasaran, iaitu pemilik kenderaan berkapasiti enjin 1,300cc ke bawah dan motosikal berkapasiti 125cc ke bawah bakal menikmati manfaat itu.

“Sekarang semua dapat manfaat tanpa mengira B40 atau tidak, selepas dilaksanakan hanya golongan terbabit mendapat harga lebih rendah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Amiruddin berkata, kerajaan juga komited memastikan harga runcit petroleum tidak akan melepasi paras ditetapkan, RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi.

“Bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), jika melepasi RM2.20, selebihnya diberikan subsidi oleh kerajaan, sehingga kita laksanakan subsidi bersasar. Pada waktu itu, harga akan diapungkan mengikut harga pasaran,” katanya.

Mengulas penurunan hanya satu sen bagi RON95 dan RON97 minggu ini kepada RM1.92 dan RM2.22 seliter masing-masing, ia tidak wajar diperlekeh atau dijadikan bahan jenaka pihak tertentu.

“Secara mingguan, ada kenaikan dan penurunan sedikit. Secara keseluruhan, penurunan daripada RM2.20 kepada RM1.93 dan seterusnya RM1.92. Hanya itu mampu kita tawarkan setelah dibuat pengiraan pada hari terakhir minggu itu, selain bergantung pada harga pasaran dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!