Tiada bukti kukuh kehilangan MH370 dilakukan seseorang
SHAH ALAM - Walaupun terdapat pelbagai teori dan spekulasi berhubung kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 namun tiada sebarang bukti kukuh yang mengatakan ia berlaku disebabkan oleh seseorang.
Bagaimanapun, bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, kemungkinan bahawa kehilangan pesawat itu dilakukan oleh pihak tertentu itu tetap ada.
"Payah hendak cakap, kemungkinan tetap ada. Apabila kita lihat kembali cara dan proses bagaimana kapal terbang ini hilang. Bermula daripada perhubungan terakhir Allahyarham Kapten Zaharie Ahmad Shah.
"Ada elemen-elemen lain tetapi bila tolak kemungkinan-kemungkinan yang lain hanya ada tinggal satu punca atau senario dan tidak mustahil ia (dilakukan seseorang) terjadi. Ini kerana kalau kita cari dari segi teknikal sukar untuk kejadian ini berlaku.
"Tetapi dalam penyiasatan pesawat jatuh, kena ada bukti yang keras tetapi malangnya tiada bukti keras," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Kelmarin, bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott membuat pendedahan tahap tertinggi apabila mendakwa kerajaan Malaysia sejak awal percaya tragedi kehilangan pesawat itu ada kaitan plot bunuh diri.
Menurut laporan The Australian, Abbott menegaskan masa dua minggu adalah sangat jelas kepadanya bahawa pesawat itu hampir pasti sengaja dijatuhkan oleh juruterbang.
ARTIKEL BERKAITAN Bekas PM Australia dakwa Malaysia tahu punca kehilangan MH370
Dalam pada itu, Nik Ahmad Huzlan ketika mengulas perkara tersebut berkata, pihak polis telah membuat pemeriksaan latar belakang terhadap kesemua penumpang pesawat tersebut.
"Komen saya tetap konsisten daripada dulu bahawa kejadian ini mungkin dilakukan oleh seseorang atas pesawat yang membawa seramai 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing ini.
"Saya yakin, sudah pasti polis membuat pemeriksaan latar belakang penumpang. Yang usia 80 tahun ke atas, tidak mungkin buat, kanak-kanak juga tidak mungkin atau mereka yang tidak tahu membaca langsung.
"Tetapi ada kelompok orang tertentu boleh buat seperti anak kapal, jurutera atau golongan terpelajar," katanya.
Bagaimanapun, Nik Ahmad Huzlan menolak bahawa kejadian itu berpunca daripada perbuatan kawalan jarak jauh atau angkara Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) kerana ketiadaan bukti.
"Kalau ikut teori konspirasi pula, mesti ada ramai yang bersekongkol untuk melakukan perkara ini. Mereka yang dalam kapal terbang dan juga di luar kapal terbang.
"Jadi kesimpulan saya dan Abbott, tidak mustahil (dilakukan seseorang) tapi saya sendiri tidak berani kata kerana tiada sebarang bukti mutlak," katanya yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dengan MAS dan pernah membawa pesawat penumpang F27, Boeing 737 dan 777.
Dalam pada itu, beliau berharap usaha pencarian pesawat MH370 akan diteruskan dengan adanya teknologi baharu yang dapat menemukan pesawat tersebut.
"Sebagai contoh, pesawat jenis Airbus 330-203 milik Air France yang terhempas ke dalam laut di perairan dengan Rio de Janeiro pada 1 Jun 2009 tetapi bangkai pesawat itu hanya ditemui dua tahun kemudian.
"Lokasi sebenar kapal ini sudah pun diketahui tetapi pasukan penyiasat hanya dapat menemuinya dua tahun selepas itu. Ini kerana sudah wujud teknologi yang lebih baik untuk membantu dalam usaha pencarian," katanya.
Operasi mencari dan mengesan pesawat MH370 berakhir pada Mei 2018 apabila syarikat cari gali yang berpangkalan di Amerika Syarikat Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu setelah mencari lebih 112,000km persegi di dasar laut dalam sepanjang lebih daripada tiga bulan.
Data satelit menunjukkan pesawat itu menyimpang dari laluan, membuat siri pusingan ke Selat Melaka dan kemudian ke arah Lautan Hindi.
"Selamat malam. Malaysia tiga-tujuh-sifar," adalah kata-kata terakhir diucapkan kapten kepada kawalan trafik udara sebelum pesawat itu hilang dari radar pada jam 01:21.
Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370, dalam laporan 449 muka surat menyimpulkan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa 'gangguan menyalahi undang-undang' oleh pihak ketiga menyebabkan kejadian itu.
ARTIKEL BERKAITAN Belum ada bukti sokong teori juruterbang MH370 bunuh diri: KPN
Najib akui kerajaan BN syak plot jenayah terhadap MH370
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!