Belanja RM30 bilion untuk 30 tahun

Suhaimi (empat dari kiri) bergambar bersama wakil rakan niaga Air Selangor pada Majlis CEO Engagement With Vendor di Pusat Konvensyen Setia City semalam.
Suhaimi (empat dari kiri) bergambar bersama wakil rakan niaga Air Selangor pada Majlis CEO Engagement With Vendor di Pusat Konvensyen Setia City semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bakal membelanjakan sejumlah RM30 bilion untuk tempoh 30 tahun akan datang di bawah Perbelanjaan Modal (Capex).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, perbelanjaan tersebut adalah bagi melaksanakan tujuh Pelan Strategik dan Inisiatif (SPI) syarikat berkenaan sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan tersebut juga turut meliputi projek naik taraf aset-aset bekalan air, inisiatif mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) dan memastikan bekalan mencukupi buat semua pengguna.

“Air Selangor berharap seluruh rakan niaga khususnya kontraktor, pembekal dan juru perunding dapat membawa inovasi serta teknologi baharu yang lebih efisien dalam segala tugasan yang dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis CEO Engagement With Vendor di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.

Difahamkan, seramai 1,700 rakan niaga yang berdaftar dengan Air Selangor mengikuti majlis tersebut.

Selain itu, semua rakan niaga Air Selangor turut berkesempatan untuk melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut mengenai majlis berkenaan, Suhaimi berkata, program yang julung kali dianjurkan itu adalah bertujuan bagi memberi ruang kepada pihaknya dan pengurusan Air Selangor untuk berinteraksi secara langsung dengan semua rakan niaga.

“Selain itu, majlis ini juga merupakan platform bagi menyampaikan misi, visi, strategi perniagaan dan sasaran Air Selangor untuk tahun ini dan berikutnya,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, rakan niaga turut diberi pendedahan mengenai ciri-ciri penting yang perlu ditampilkan oleh mereka untuk membantu Air Selangor menjadi operator terbaik di rantau ini.

“Rakan niaga Air Selangor telah banyak menyumbang kepada kelancaran operasi kami dan hubungan baik ini perlu diteruskan serta diperkukuhkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!