SSM anjur #JOMDAFTARSSM2020 usaha tingkat pendaftaran perniagaan
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terus memperkasakan usaha mewujudkan ekosistem perniagaan yang bertanggungjawab di negara ini dengan menggalakkan pendaftaran perniagaan baharu menerusi program #JOMDAFTARSSM2020.
Program khas itu menyasarkan sebanyak 2,020 pendaftaran perniagaan di seluruh negara dalam tempoh satu hari.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Dr Azman Hussin berkata, usaha berkenaan antara lain bagi mengurangkan ekonomi gelap di negara ini.
Menurutnya, pendaftaran perniagaan juga memastikan hak pengguna lebih terjaga.
“Kita amat menggalakkan perniagaan untuk mendaftar. Kita negara yang bertamadun, kita mahu kurangkan apa yang dinamakan ekonomi gelap.
“Orang berniaga tapi tidak berdaftar. Kerana jika ada masalah yang berlaku, pengguna akan hadapi masalah. Seperti yang kita tahu cara pendaftaran amat mudah dan murah.
“Apabila ada data, maklumat yang ada adalah tepat. Maklumat penting untuk ekosistem perniagaan dan pensyarikatan di Malaysia kerana untuk menggalakkan orang melabur mereka mesti mempercayai sistem perniagaan di negara ini,” katanya ketika ditemui pada program #JOMDAFTARSSM2020 dan Hari Bertemu Pelanggan di Menara SSM di Kuala Lumpur semalam.
Program itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen.
Sasaran sebanyak 2,020 pendaftaran perniagaan juga adalah percubaan SSM memperoleh pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) sebagai agensi pertama mencipta rekod pendaftaran perniagaan terbanyak dalam tempoh satu hari di seluruh negara.
Berucap merasmikan program itu, Chieng Jen memuji usaha yang dilakukan SSM sebagai satu idea yang baik dengan mesej menggalakkan lebih ramai rakyat menceburi bidang keusahawanan yang berdaftar.
Katanya, pendaftaran juga adalah langkah pertama membolehkan masyarakat mendapat manfaat dan insentif yang disediakan kerajaan.
“Jika kita lihat sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada pekerja hanya 36 peratus. Sumbangan paling banyak adalah dari sektor perniagaan.
“Jadi kita mahu menggalakkan masyarakat menceburi bidang perniagaan. Selain menjana pendapatan, perniagaan juga dapat mencipta pekerjaan. Bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!