'Mana ada diarah tutup, kami kena kompaun sahaja'
GEORGETOWN - Sebuah restoran nasi kandar terkenal di Jalan Gudwara, di sini tampil menafikan restoran itu diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kerana kotor seperti laporan sebuah akhbar hari ini.
Pengurus Restoran Nasi Kandar Deens Maju, Mohamed Ismail Mohamed berkata, sebaliknya restoran tersebut hanya dikompaun RM50 dalam operasi dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dan bukan seperti dilaporkan akhbar berkenaan sehingga menjadi tular di media sosial.
"Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPP semalam, kami hanya dikenakan kompaun dan bukannya diarahkan ditutup kerana kotor, tapi laporan yang disiarkan akhbar itu mengatakan restoran kami kena tutup (14 hari), malah sepanjang restoran ini dibuka sejak tahun 2012 tak pernah sekali diarah tutup dan diberikan Gred A selama ini, iaitu 88 peratus bersih.
"Tindakan akhbar itu melaporkan berita tidak tepat tersebut telah menjejaskan perniagaan kami, macam hari ini pelanggan memang lengang selalu penuh, tapi tiba-tiba kosong kerana berita palsu... memang menurun lebih 50 peratus, malah sebuah syarikat penghantaran turut menutup tempahan dari restoran kami akibat berita tersebut, di situ saja kami dah rugi lebih RM2,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Islam Malaysia Datuk Kadhar Shah Abd Razak dan Pengarah Restoran Nasi Kandar Line Clear Abdul Kader Jainul Abdin.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Restoran nasi kandar popular kena kompaun
Mohamed Ismail berkata, pihaknya berharap akhbar tersebut membuat pembetulan dan pihak MBPP juga sepatutnya memberi maklumat yang betul kepada media, bagi mengelak perkara seperti ini berulang pada masa hadapan.
Sementara itu Abdul Kader berkata, Restoran Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang turut terjejas, kerana akhbar tersebut juga meletakkan nama restoran tersebut ditutup kerana kotor, sedangkan premis mereka tidak terlibat dalam operasi semalam.
"Saya pelik kerana tiba-tiba orang tidak ada di restoran kami hari ini, dalam masa sama saya terkejut kerana menerima kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa restoran kami telah diarahkan tutup kerana kotor dalam operasi MBPP semalam, sedangkan premis kami tidak terlibat dalam operasi tersebut," katanya.
Mohd Khadar Shah pula berkata, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan sahaja menjejaskan perniagaan ahli persatuannya, malah industri nasi kandar di Pulau Pinang yang memang menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong.
"Tindakan akhbar itu seolah-olah cuba menutup periuk nasi pengusaha nasi kandar, malah menerusi laporan berita tersebut ia menggambarkan seolah-olah restoran kami kotor sehingga diambil tindakan diarah tutup," katanya.
Semalam Bernama melaporkan sebuah restoran nasi kandar terkenal di Jalan Gurdwara, di sini dikenakan dua kompaun atas kesalahan meletakkan bahan masakan mentah di atas lantai, selain wujud pencemaran silang pada makanan yang siap dimasak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!