Setakat mana had kesabaran
Menurut Pak Hamka, Insan atau manusia adalah makhluk yang istimewa dan pilihan di sisi ALLAH. Manusia diciptakan lebih mulia, lebih utama dan lebih tinggi daripada makhluk lain serta bertujuan untuk membongkar rahsia Ilahi yang terpendam di permukaan bumi ini.
Sesungguhnya, matahari memancarkan sinar, bulan menyebarkan cahaya dan bintang-bintang berkerlipan di malam sunyi, semuanya untuk manusia. Begitulah juga air sungai mengalir, lautan terbentang serta tumbuh-tumbuhan menghijau juga untuk manusia. Bahkan malaikat yang menjadi penghuni ghaib dari langit dan bumi ditugaskan semata-mata untuk menjaga manusia.
Ujian
Pun begitu, tujuan diciptakan manusia adalah cukup besar sehinggakan Imam Al-Ghazali pernah menegaskan, “Apabila tujuan sangat besar dan mulia, sukarlah jalan yang ditempuh dan bukanlah sedikit rintangannya.”
Menurut perspektif Islam, terdapat beberapa perkara besar yang harus dilaksanakan oleh seseorang Muslim antaranya melaksanakan ibadat, menjauhi maksiat dan menempuhi ujian. Apa yang nyata, semua perkara tersebut tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa kita bersabar. Namun bukan mudah untuk bersabar.
Sebetulnya, masih ramai yang beranggapan bahawa kesabaran itu ada hadnya. Oleh itu, apabila sesuatu perkara yang berlaku ke atasnya melebihi had kesabaran, maka adalah wajar beliau bertindak balas.
Tambahan pula, dengan adanya sokongan daripada individu yang terdekat bahawa perbuatan bertindak balas itu wajar, membuatkan beliau semakin yakin bahawa tindakan itu adalah betul. Persoalannya, adakah kita benar-benar mengetahui had kesabaran kita dan adakah benar kesabaran itu ada hadnya?
Hakikatnya, kita sendiri tidak tahu setakat mana had sabar. Ini kerana bergantung kepada situasi dan mood kita pada hari tersebut.
Ada ketikanya, kita boleh bersabar dengan gurauan rakan-rakan dan ada waktunya kita marah dan berkecil hati dengan gurauan tersebut walaupun rakan baik sendiri.
Begitu juga dengan had sabar, sebetulnya tiada had sabar dalam hidup kita. Apa jua rintangan, kita perlu bersabar selaras dengan firman ALLAH: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira.” (Surah al-Zumar, 39:10).
Berkaitan hal itu, teringat saya kepada satu peristiwa sewaktu mengerjakan haji beberapa tahun yang lalu. Sewaktu saya hendak membeli kopi di sebuah gerai dalam lapangan terbang antarabangsa Madinah, saya cukup terkejut dengan pekikan serta jeritan daripada sekumpulan jemaah Arab terhadap pihak berkuasa lapangan terbang.
Setelah saya bertanya salah seorang pegawai mereka yang boleh berbahasa Inggeris, beliau memberitahu jemaah tersebut tidak berpuas hati kerana pihak petugas lapangan terbang tidak membenarkan waris mereka yang mati mengejut di lapangan terbang balik bersama-sama dengan mereka mengikut jadual penerbangan yang asal. Natijahnya, mereka berterusan memekik dan ada yang cuba bertindak secara kasar.
Mujurlah peristiwa itu dapat dikendalikan dengan baik akhirnya. Setelah suasana agak tenang, saya mendekati pegawai tadi dan bertanya kepada beliau, “Bagaimana dia boleh menghadapi situasi yang begitu tegang tadi?. Balas beliau, “Sabar, walaupun sukar.” Ini bermakna, hanya sabar sebagai ubat yang paling mujarab mendepani segala krisis dalam hidup kita.
Menurut pakar psikologi, kita boleh memberikan pelbagai alasan untuk tidak bersabar. Namun implikasi terhadap sikap tidak sabar cukup banyak seperti, cepat marah, mudah kecewa, tidak boleh berfikir dengan rasional, gagal membuat keputusan yang betul dan menjarakkan kasih sayang.
Kebanyakan mereka yang tidak bersabar, sikapnya agak ketara apabila perlu beratur panjang di kaunter bayaran, sewaktu kesesakan lalu lintas serta di pelbagai tempat yang melibatkan masyarakat awam. Natijahnya, kita pula kena bersabar dengan kerenah mereka.
Secara prinsipnya, sabar adalah satu latihan spiritual yang berpanjangan bagi mencapai kebebasan emosi. Apabila kita bersabar bukannya bermakna kita perlu diam dan tidak aktif, sebaliknya kita perlu jadikan sabar sebagai teras pegangan hidup untuk menjadikan kita lebih berkuasa ke atas diri sendiri dalam mengharungi ketidaktentuan dunia.
Apa yang penting, kesabaran menjauhi kita daripada terbelenggu dengan minda yang sempit serta hati yang keras, bersabarlah.
*Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!