Arab Saudi pintas misil Houthi

Stesen TV al-Masirah memaparkan misil balistik dilancarkan Houthi menyasarkan Lapangan Terbang Raja Khaled di Riyadh pada November 2017. - Foto Agensi
Stesen TV al-Masirah memaparkan misil balistik dilancarkan Houthi menyasarkan Lapangan Terbang Raja Khaled di Riyadh pada November 2017. - Foto Agensi
A
A
A

RIYADH - Sistem pertahanan udara Arab Saudi menembak jatuh misil balistik yang dilancarkan kumpulan pemberontak Houthi menyasarkan kawasan orang awam di negara itu, menurut media tempatan hari ini.

Saudi Press Agency (SPA) memetik kenyataan jurucakap tentera gabungan Arab, Kolonel Turki al-Maliki melaporkan, misil itu berjaya dipintas pada jam 12.30 pagi (waktu tempatan) ketika ia menuju ke beberapa bandar di Riyadh.

“Ia dilancarkan secara sistematik dan sengaja menyasarkan orang awam. Ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa,” jelas laporan itu tanpa memberi butiran lanjut tentang bandar yang menjadi sasaran serangan Houthi.

Menurut al-Maliki lagi, Sana’a telah menjadi ‘markas’ Houthi dan hab pelancaran misil balistik untuk menyasarkan Arab Saudi.

“Pusat Perintah Bersama Gabungan Arab akan terus melaksanakan langkah tegas selaras dengan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa untuk melindungi rakyat dan ekspatriat daripada serangan seumpama itu,” tegasnya.

Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan berkata, serangan berterusan Houthi ke atas Riyadh menunjukkan militia yang disokong Iran itu tidak serius tentang penyelesaian konflik di Yemen.

Kenyataan itu dikeluarkan pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Jerman, Heiko Maas yang turut menyifatkan peranan Iran untuk menjejaskan keamanan di rantau terbabit adalah sangat jelas. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!