Cerita keuntungan Tabung Haji

A
A
A

Saya membaca juga cerita tentang hotel Tabung Haji ini. Bermacam-macam pendapat telah diutarakan. Hendak tak hendak kita kena ambil tahu juga cerita yang mungkin terlampau dipolitikkan ini juga.

Bersih atau kotor ceritanya tetap memberi kesan kepada kita rakyat jelata dan negara juga. Cerita-cerita yang berlegar-legar ini sekarang sudah semakin sukar untuk dipastikan yang mana betul dan yang mana tidak betul.

Contohnya kisah hotel Tabung Haji yang sedang hebat diperkatakan ini. Perkara yang sangat sensitif apabila melibatkan entiti orang Melayu Islam. Persoalan yang bermain ini juga bukan sahaja menjadi bualan tetapi menjadi perdebatan antara kerajaan, pembangkang dan rakyat jelata juga.

Persoalannya betulkah apa yang telah didakwa? Kerajaan mendakwa hotel Tabung Haji tidak menguntungkan. Pembangkang pula mendakwa untung manakala rakyat jelata seperti biasa berdebat memberi hujah-hujah merujuk kepada kenyataan kerajaan dan pembangkang itu.

Memang menarik juga sebenarnya untuk difikirkan. Seperti yang telah diuar-uarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan menunjukkan bukti pernyataan akaun yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Kata beliau, ia menunjukkan dengan jelas akan keuntungan yang diperoleh oleh hotel Tabung Haji ini. Kenyataan itu telah menyebabkan rakyat jelata berbahas dan menyalahkan kerajaan kerana mengambil tindakan yang dikira tidak perlu.

Beberapa kenyataan analisis juga telah diberi oleh mereka yang pakar tentang membaca pernyataan akaun ini dalam menyokong hujah. Maka ramailah rakyat jelata terkejut akan pendedahan itu.

Pemimpin dan rakyat pun berlumba-lumba berdebat. Masing-masing dengan dakwaan masing-masing. Tetapi ada juga yang tidak tahu apa-apa.

Artikel Berkaitan:

Mereka mengikut hanya bersandarkan kepada ketaksuban sahaja. Antara penyokong kerajaan dan pembangkang sama sahaja. Apa sahaja kata pemimpin mereka, ia akan dianggukkan sahaja.

Kemudian sekumpulan penyokong blok kerajaan yang juga mungkin pakar dalam membaca pernyataan akaun itu pun memberi hujah balas pula. Mereka mengatakan berlaku manipulasi pada penyataan akaun itu.

Maka sekali lagi rakyat jelata penyokong blok kerajaan pula bersorak gegak-gempita kerana pembongkaran yang dilakukan kerajaan dulu terbongkar pula.

Setakat saya menulis cerita ini, masih belum ada lagi jawapan daripada blok penyokong kerajaan untuk menjawab dakwaan ini lagi. Saya sedang menunggu juga. Cuma saya memandangnya perbahasan ini dari segi ilmu. Terutama ilmu untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam memahami bagaimana pernyataan akaun itu perlu dibaca.

Namun, persoalan yang masih berlegar ialah yang mana satu betul? Bagi mereka yang taksub akan tetap berpegang kepada hujah orang yang mereka sokong sahaja. Bagi mereka ini cukup hanya dengan ketaksuban kepada pemimpin sudah boleh menjustifikasikan betul atau salah.

Walaupun pihak belah kerajaan memberi kenyataan balas dan belah pembangkang pula mengemukakan kenyataan dan hujah yang kuat juga, namun jawapannya masih kabur juga. Maka rakyat jelata perlu berfikir dengan sedalam-dalamnya pula.

Zaman teknologi pesat dengan informasi ini menyebabkan kebenaran dan kebohongan telah menjadi sukar untuk dijustifikasikan.

Akhirnya juga, tetap persoalan yang masih ditanya dan ingin diketahui: yang mana satu betul? Hotel Tabung Haji ini untung atau rugi sebenarnya?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!