Pembebasan LTTE: 'Saya nak sedia kambing masak kicap untuk suami'

Uma Devi menunjukkan gambar mereka tiga beranak di kediamannya di Taman Desa Idaman, Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Uma Devi menunjukkan gambar mereka tiga beranak di kediamannya di Taman Desa Idaman, Durian Tunggal, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminanthan menyambut berita pembebasan suaminya dengan penuh rasa gembira dan merancang untuk menyediakan daging kambing masak kicap jika lelaki itu pulang nanti.

V Uma Devi, 32, berkata, tempoh empat bulan tanpa suami adalah situasi yang sukar dilaluinya berikutan dia sedang mengandung termasuk berdepan dengan pelbagai persoalan masyarakat.

"Selama 135 hari saya menunggu, akhirnya tuhan makbulkan doa saya. Mungkin kelahiran anak kedua nanti, suami ada di sisi seperti saya melahirkan anak pertama dulu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Idaman Durian Tunggal di sini, semalam.

Saminanthan yang juga Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, antara enam individu termasuk ADUN DAP Negeri Sembilan bagi kawasan Seremban Jaya P Gunasekaran, yang ditahan pada 10 Oktober lalu di bawah SOSMA [Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)] kerana didakwa mempromosi ideologi dan merekrut anggota untuk menghidupkan semula LTTE di Malaysia.

Uma Devi mengesat air mata ketika mencerita kepayahan yang dilalui selama empat bulan tanpa suami.
Uma Devi mengesat air mata ketika mencerita kepayahan yang dilalui selama empat bulan tanpa suami.

Uma Devi berkata, berita pembebasan ADUN berkenaan yang diterima menerusi kiriman WhatsApp daripada peguamnya disambut dengan penuh rasa syukur sekali gus meleraikan kesedihan selama ini di atas penahanan tersebut hingga dia terpaksa berulang alik ke Penjara Sungai Buloh untuk melawat suaminya itu.

Tidak mahu terus berduka dengan kesulitan yang terpaksa ditempuhi sepanjang ketiadaan suami, Uma Devi berkata, dia begitu teruja untuk menyambut kepulangan suami tersayang dan merancang memasak makanan kegemaran suami iaitu kambing masak kicap.

Sementara itu, Timbalan DAP negeri, Datuk Norhizam Hasan Baktee berkata, beliau mewakili parti itu bersyukur dan berterima kasih dengan keputusan peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Artikel Berkaitan:

Peguam Negara semalam menarik balik pertuduhan terhadap 11 lelaki lain termasuk Adun Seremban Jaya, P. Gunasekaran yang dikaitkan dengan aktiviti LTTE.

Ia selepas pihaknya melihat tidak ada prospek jelas untuk sabitan ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Menurut Tommy, keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN LTTE: 28 hujah AG batal prosiding jenayah 12 individu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!