Mesyuarat tidak bincang perubahan Kabinet: Tun M
PUTRAJAYA - Isu perubahan Kabinet tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini malam tadi.
"Tak ada apa, tak ada cakap pasal perubahan Kabinet.
"Tak ada cakap asal lain cuma nak tentukan masa (peralihan kuasa Perdana Menteri) dan masa itu terpulang kepada saya," katanya pada sidang media.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada isu perubahan Kabinet turut dibincangkan pada mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu.
Dr Mahathir ketika ini masih memangku jawatan Menteri Pendidikan selepas Dr Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatan pada 2 Januari lalu.
Terdahulu, Dr Mahathir tiba kira-kira 8.30 malam diiringi konvoi keselamatan dan dilihat mengangkat tangan kepada petugas media yang menunggu dalam keadaan hujan renyai.
Antara pemimpin PH yang kelihatan adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.
Mesyuarat tertutup itu berlangsung lebih dua jam.
ARTIKEL BERKAITAN Peralihan kuasa terpulang kepada saya, kata Tun M
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!